Categories: FeaturedGaya Hidup

Bekas isteri Sultan Kelantan dedah wajah anaknya, Ismail Leon

Perkongsian wajah bayi bekas isteri Sultan Kelantan, Rihana Oxana Gorbatenko menerusi laman Instagram dikatakan miliknya, @rihanapetra menjadi tular dan mendapat sambutan dalam kalangan warganet.

Beliau yang kini menggunakan nama Rihana Oksana Petra buat julung kali mendedahkan wajah bayinya, Ismail Leon yang kini berusia lima bulan dalam media sosial.

Sebelum ini, Rihana pernah berkongsi gambar beliau bersama anaknya, namun tidak memaparkan wajah Ismail Leon. Kelmarin, Rihana membuat dua hantaran, iaitu tiga keping gambar bayinya dan diikuti hantaran kedua yang menunjukkan gambar beliau bersama Ismail Leon.

Gambar terbabit mungkin dirakam di Hotel The Ritz-Carlton Moscow berdasarkan perkongsian lokasi dalam kedua-dua hantaran berkenaan.

Sehingga kini hantaran pertama yang menunjukkan gambar bayinya di atas sofa dan  katil sudah mendapat lebih 100,000 tanda suka (like) dan lebih 7,000 mesej yang kebanyakannya daripada rakyat Malaysia.

Hantaran kedua yang dikongsi pada hari yang sama turut mendapat perhatian warganet apabila memperoleh hampir 60,000 tanda suka dan lebih 1,000 mesej yang rata-rata memuji kecomelan Ismail Leon.

Akaun Instagram @rihanapetra kini diikuti 561,000 pengikut meskipun hanya membuat 32 hantaran setakat ini.

Akaun berkenaan yang sebelum ini dikatakan bukan miliknya, berkongsi pelbagai kisah antara beliau dengan bekas suaminya termasuk kisah dan gambar peribadi perkahwinan mereka.

Bekas Ratu Russia itu mencuri tumpuan apabila kisah perkahwinannya dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V diketahui umum. Mereka dikatakan berkahwin pada tahun 2018, namun tiada pengumuman rasmi dibuat.

Rihana yang nama asalnya Oksana Andreyevna Voevodina atau juga dikenali dengan nama Xenia Diaghileva memeluk Islam dan menukar namanya kepada Rihana Oxana Gorbatenko dan kini dikenali sebagai Rihana Oksana Petra.

Beliau yang memenangi pertandingan Ratu Russia pada tahun 2015 ialah anak kepada pakar bedah ortopedik di Russia, Andrei Ivanovich Gorbatenko dan ibunya, Lyudmila Voevodina, pemain piano yang juga pernah menyertai pertandingan ratu cantik di Russia.

Dilahirkan di Astrakhan, Russian pada 10 Julai 1992, Rihana menetap di Malaysia sejurus mengahwini Sultan Kelantan dan kini kembali menetap di Moscow bersama-sama anaknya, Ismail Leon dan meneruskan kerjaya peragaannya.

Fadzlena Jafar