Categories: FeaturedSihat

Cabaran 20 Clap Pushups Syed Saddiq tular, ini kebaikan senaman tekan tubi

Lima hari lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mewujudkan cabaran  #stayathomechallenge sebagai satu usaha memastikan orang ramai kekal aktif dan sihat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Video dimuat naik dalam Instagram wakil rakyat berusia 28 tahun itu, memaparkan beliau dalam persalinan serba hitam sedang melakukan senaman ‘push up’ atau tekan tubi sambil bertepuk tangan sebanyak 20 kali dalam tempoh 17 saat.

Apa yang menarik, meskipun sudah lima hari berlalu, cabaran itu masih berlanjutan sehingga hari ini, sekaligus menunjukkan cabaran itu mendapat maklum balas yang luar biasa daripada pengikut laman sosialnya.

Berbagai ragam dan cara warganet melakukan senaman itu, malah ada sesetengahnya cukup mencuit hati. Ahli politik dan ahli perniagaan terkenal juga mempamerkan sikap ‘sporting’ dengan menyahut cabaran berkenaan.

Tekan tubi yang begitu sinonim dengan senaman khusus untuk lelaki mempunyai pelbagai manfaat. Senaman ini agak mudah dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Kelebihan senaman tekan tubi ini, antaranya:

1. Menguatkan otot

Apabila melakukan tekan tubi, secara automatik anda akan menguatkan otot-otot pada bahagian lengan, paha, betis dan abdomen. Ia juga membentuk otot lengan anda agar nampak lebih gagah dan macho.

2. Mencegah osteoporosis

Semakin meningkat usia, semakin anda terdedah pada penyakit tulang rapuh, justeru senaman ini amat baik untuk menguatkan tulang anda.

3. Membakar kalori

Mengikut kajian, seseorang yang beratnya sekitar 70 kilogram akan membakar sekitar 49 kalori ketika melakukan tekan tubi dalam tempoh 5 minit. Lagi lama anda buat, lagi banyak kalori dapat dibakar!

4. Meningkatkan keyakinan

Kebanyakan individu yang melakukan tekan tubi secara konsisten cenderung merasakan diri mereka kuat dan kental, secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri mereka. Oleh itu, senaman ini baik untuk menjadikan anda seorang yang lebih yakin.

Senaman tekan tubi ini juga boleh dilakukan golongan wanita, tetapi dengan cara menyilangkan kaki anda agar tidak begitu terbeban memandangkan kemampuan fizikal wanita dan lelaki adalah berbeza.

Foto: Flickr

Yanie Baharom