Categories: FeaturedOh Lawa

FK by Farah Khan, koleksi lebaran pada harga berpatutan buat penggemar fesyen

Sebut sahaja nama pereka fesyen ini, pasti kita terbayangkan hamparan koleksi dan hasil rekaan busananya yang mewah, menghiasi beberapa siri pertunjukan fesyen tempatan mahupun antarabangsa.

Penulis ibaratkan, hanya mampu melihat tetapi tidak mungkin memiliki, lebih-lebih lagi kalau setakat berpendapatan sederhana.

Bukan calang-calang orang mampu menyarung koleksi daripada jenama Farah Khan yang diasaskan oleh Datuk Seri Farah Khan, pengasas empayar The Melium Group, iaitu syarikat peruncitan butik mewah di Malaysia seperti Givenchy, Max Mara, Roger Vivier, Hacket London, Aigner serta banyak lagi.

Justeru itu, apabila Farah Khan mengumumkan kolaborasi pertama bersama gedung fesyen atas talian, Zalora, yang menawarkan koleksi lebaran pada harga berpatutan, pasti ramai teruja dengan berita baik untuk penggemar fesyen itu.

Inilah masanya untuk anda merebut peluang memiliki koleksi jenama mewah ini pada harga yang bermula RM390 hingga RM70, jauh lebih murah berbanding koleksi yang pernah dikeluarkan.

Koleksi yang dinamakan sebagai FK by Farah Khan itu berinspirasikan keindahan Marrakech (Maghribi) dan mula dijual di Zalora sejak Mac lalu.

Pasukan kreatif di Farah Khan menterjemahkan gaya sopan, dalam suntikan gaya moden fesyen hari ini.

Keindahan dan keunikan Jardin Majorelle dan Médersa Ben Youssef diterjemahkan pada ilham kaftan, kebaya dan kurung dalam himpunan ini. Koleksi ini juga dilengkapi helaian untuk kanak-kanak.

Yanie Baharom