Categories: FeaturedGaya Hidup

Hapuskan bakteria, ini cara cuci ketuhar yang betul dan berkesan

Tidak dinafikan, penggunaan ketuhar gelombang mikro dapat membantu memudahkan kerja dapur terutama sekali untuk memanaskan semula makanan siap.

Apatah lagi ketika musim raya, pastinya kita akan masak juadah seperti rendang, kuah kacang, sambal jawa, laksa ataupun sambal lodeh dalam kuantiti yang banyak untuk dinikmati bersama-sama keluarga.

Kredit gambar: Ceritalah Lagi

Oleh itu, dengan bantuan ketuhar gelombang mikro, kita boleh memanaskan semula juadah berkenaan dengan cepat dan juga mampu menjimatkan masa.

Bagaimanapun, bilakah kali terakhir kita membasuh ketuhar gelombang mikro? Sama seperti peti ais dan perkakas dapur yang lain, ketuhar gelombang mikro juga perlu dicuci dengan kerap kerana ketuhar itu menjadi tempat bakteria terkumpul.

Seorang pemilik akaun @nawalhuder menerusi bebenangnya di laman sosial Twitter berkongsi cara untuk mencuci ketuhar gelombang mikro.

Menurutnya, ketuhar gelombang mikro perlu dicuci sekurang-kurangnya dua atau tiga sebulan sekali untuk mengelakkan bakteria terkumpul sekali gus mampu menyebabkan keracunan makanan dan sebagainya.

Jom lihat cara untuk membersihkan ketuhar gelombang mikro:

Kredit gambar: Twitter @nawalhuder

1. Isi mangkuk dengan separuh air.

2. Hiris sebiji lemon dan perahkan jusnya.

3. Letak dalam ketuhar gelombang mikro dan tetapkan butang masa selama lima minit.

4. Setelah lima minit, tunggu dan biarkan dulu selama dua minit sebelum buka penutup ketuhar bagi memastikan agar wap air tidak keluar.

5. Kemudian, lap dengan kain bersih. Ketuhar bukan sahaja bersih, malah menjadi wangi dengan haruman lemon.

Selamat mencuba!

Ad Ops