Categories: FeaturedOh Lawa

Himpunan Busana Perkahwinan Memikat di The Wedding KL

Momen menjadi raja sehari, adalah saat paling indah dan membahagiakan bagi sesiapapun. 

Pada saat itulah, kita bisa menjadi jelmaan puteri seperti apa yang kita mahukan. 

Rapi dalam persalinan mewah nan romantis, ditatarias cantik yang tidak pernah terlihat oleh sesiapapun, bahagianya sukar diungkap tatkala duduk bersanding di singgahsana pelaminan bersama putera idaman yang dicintai. 

Justeru kepada bakal mendirikan rumah tangga dan melewati hari penuh bersejarah sekali seumur hidup, sudahkah anda  merencanakan persiapan? 

Atau masih belum punya idea busana perkahwinan seperti apakah yang mahu disarungkan pada hari bahagia nanti?

Jika belum berkesempatan memikirkan hal ini, Hijab & Heels ingin berkongsi dengan anda beberapa koleksi perkahwinan yang cukup menawan dipamerkan pada The Wedding KL yang berlangsung di Hotel The Marriot, Kuala Lumpur, 25 hingga 27 Januari lalu. 

Membariskan 20 pereka fesyen terkemuka tanah air mempersembahkan koleksi baju pengantin eksklusif mereka, Hatta Dolmat Bridal 2019, mendahului dengan rekaan  paling ‘out standing’ sepanjang acara itu berlangsung. 

 

Hatta sememangnya dikenali sebagai seorang pereka fesyen kreatif dan sentiasa menghasilkan sesuatu diluar kotak.

Mainan kelopak petals dalam helaian fabrik neoprene, renda Perancis dan kemilau sekuin indah, mencipta dramatik dalam persalinan romantis! 

Pastinya pereka duo, Fizi Woo tidak ketinggalan mengungguli senarai teratas pilihan penulis. Memperkenankan tema FIZIWOO Artisanal Bridal 2019, rekaan busana pengantin yang dipersembahkan mereka kali ini menampilkan sisi matang jenama itu dengan menekankan perincian manik jahitan tangan.

Tambah menarik himpunan terbaru ini hadir dengan rekaan korset asas, pakaian memeluk tubuh dengan lapisan tulle yang memberikan elemen seksi dan menggoda namun cukup feminin. 

Apalagi yang perlu diperkatakan mengenai duo Rizman Ruzaini. Rata-rata wanita sama ada dikalangan selebriti, VIP mahupun orang biasa, pasti ingin menyarungkan busana perkahwinan jenama ini di hari bahagia mereka. 

Permainan fabrik lace dan perincian mewah bergemerlapan serta glamor terus dikekalkan dalam versatiliti rekaan mereka. Penulis suka dengan idea lengan baju sebelah panjang dan pendek yang dipamerkan mereka. 

Ezuwan Ismail menerusi koleksi Love Letter, menterjemahkan nostalgia surat cinta yang dikarang dengan bicara indah ke bentuk helaian setiap rekaannya. 

Manis dan minimalis, koleksi yang dipersembahkan Ezuwan ini memenuhi keperluan raja sehari yang pastinya tidak mahu kecantikan mereka tenggelam dek kerana busana pengantin yang sarat! 

Selain menyediakan platform kepada jenama-jenama gah tempatan, penganjuran kali keempat The Wedding KL kali ini turut mengetengahkan nama-nama baru seperti Fuzana Mokhtaza, Liza Azulkarnain dan Zaimi Zulkafli.

Zaimi Zulkafli menerusi koleksi De Mariee, membawa penonton melihat kembali  keindahan busana perkahwinan orang Melayu yang sebati dengan kebarung, pesak gantunh, songkek tenunan klasik, bersulam benang emas dan perak. 

Dipadan keringkam juga sulaman benang emas yang tampak ringkas namun tinggi nilainya!

Yanie Baharom