Categories: FeaturedSihat

Masalah tidur, hilang semangat tanda gangguan mental

Ramai menganggap membicarakan kesihatan mental dengan rakan adalah perkara yang memalukan walaupun hakikatnya kesihatan mental sama penting dengan kesihatan fizikal.

Permasalahan membabitan mental bukan satu perkara yang boleh dipandang remeh kerana ia memberi kesan yang amat buruk jika tidak ditangani dengan berkesan termasuk boleh mengakibatkan penghidap membunuh diri.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, dengan pergerakan yang terbatas, tidak mustahil ada yang mengalami tekanan mental dan lebih memburukkan keadaan sekiranya mereka sendiri tidak tahu bahawa diri mengalami tekanan mental.

Perubahan emosi dialami individu adalah atara tanda awal gangguan mental – gambar hiasan. Foto: NSTP.

Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Firdaus Abdul Ghani, berkata antara tanda awal individu mengalami gangguan mental adalah perubahan emosi yang ketara seperti sering berasa sedih dalam tempoh 14 hari.

“Antara tanda lain yang boleh dijadikan panduan bagi mengenal pasti sama ada seseorang individu mengalami gangguan mental adalah tidak bersemangat dan hilang minat untuk melakukan kegiatan yang digemarinya sebelum ini.

“Individu itu juga akan mengalami masalah dengan corak tidurnya selama ini, sama ada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia) serta kurang selera makan menyebabkan berat badan merosot,” katanya.

Rasa bersalah melampaui kesalahan dilakukan lazim dialami individu yang mengalami gangguan mental – gambar hiasan. Foto: NSTP.

Beliau berkata, ada juga individu yang mengalami keadaan seperti sering rasa bersalah melampaui kesalahan dilakukan serta lebih memudaratkan keadaan, berfikir atau mempunyai perancangan untuk membunuh diri.

Sekiranya anda mempunyai satu daripada empat tanda itu, jangan bertangguh untuk berjumpa individu yang sesuai bagi mencari jalan penyelesaian.

Individu yang mengalami gangguan mental juga akan terfikir untuk membunuh diri – gambar hiasan. Foto: NSTP.

Hijab & Heels berkongsi empat panduan mudah untuk diamalkan bagi mengelakkan diri daripada mengalami gangguan mental.

1. Sentiasa bertanya khabar dengan keluarga, adik beradik atau jika mempunyai kawan rapat, teruskan berkongsi pengalaman atau apa sahaja yang dirasakan perlu dengan mereka.

2. Kawal diri daripada terdedah kepada media sosial secara keterlaluan kerana apa yang terpapar di lama sosial juga kadangkala boleh membuatkan anda berasa terasing atau ketinggalan

3. Sekiranya anda seorang Muslim, lakukan perkara yang diwajibkan dalam agama dan amalkan membaca al-Quran untuk ketenangan jiwa.

4. Ambil makanan berkhasiat dan dapatkan tidur yang cukup.

Shaidah Shafie