Categories: Eat TravelFeatured

Panduan 3M dan 5 kunci keselamatan elak keracunan pada Aidilfitri

Makanan yang terdedah atau dimasak lebih beberapa hari boleh menyebabkan keracunan dan dalam kes tertentu keadaan boleh memudaratkan sehingga memerlukan rawatan lanjut di hospital.

Sepanjang sebulan sambutan Aidilfitri pada 2019, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima laporan 53 episod keracunan makanan membabitkan 1,995 kes.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM menyarankan panduan 3 M dan 5 kunci keselamatan bagi mengelak keracunan pada musim perayaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (Gambar BERNAMA)

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri sememangnya tidak lengkap tanpa menjamah juadah istimewa Hari Raya. Ini sememangnya menjadi amalan masyarakat Malaysia di Hari Raya, namun masyarakat perlu berhati-hati supaya tidak mengalami keracunan makanan pada musim perayaan ini.

“Bagi memastikan juadah disediakan dapat dinikmati dengan selamat, proses penyediaan makanan perlu diberi perhatian terutama dari segi cara pemasakan yang betul dan selamat. Oleh itu, KKM menyarankan orang ramai supaya mengamalkan lima kunci keselamatan dan panduan 3M bagi bagi mengelakkan keracunan makanan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya, Jumaat lalu.

Berikut adalah 5 kunci keselamatan makanan bagi memastikan makanan yang disediakan untuk ahli keluarga yang tersayang adalah bersih dan selamat:

  1. Amalkan kebersihan diri dan mencuci tangan dengan air dan sabun sebelum mengendalikan makanan.
  2. Gunakan bahan mentah yang segar dan air yang bersih.
  3. Gunakan peralatan yang berasingan seperti papan pemotong untuk makanan mentah dan yang telah dimasak.
  4. Masak makanan dengan sempurna dan pastikan ianya dimakan dalam tempoh tidak melebihi empat jam.
  5. Simpan makanan pada suhu yang bersesuaian dan tidak melebihi tiga hari di dalam peti sejuk.

Selain itu, KKM mencadangkan amalan pemakanan yang sihat dan seimbang menerusi panduan 3M iaitu:

  1. Masak di rumah jika boleh. Ini dapat membantu mengawal penggunaan minyak, gula dan garam dalam makanan.
  2. Makan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan.
  3. Minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Elakkan minuman yang mempunyai kandungan gula tinggi seperti kordial dan minuman berkarbonat.
Fadzlena Jafar