Categories: FeaturedOh Lawa

Peragawati ini kekal langsing walaupun sudah beranak tiga

Kata orang, nak kurus mudah sahaja. Elakkan makan makanan bergula dan mengandungi tinggi karbohidrat, namun yang paling penting, jangan minum air bergula.

Jika diamalkan selama dua bulan ditambah senaman 5 minit setiap pagi, berat badan akan turun dengan cepat, malah pasti dapat memperoleh bentuk badan idaman. Mudah sahaja!

Tetapi, hendak mengekalkan berat dan bentuk badan selepas dua bulan itu yang menjadi masalah bagi kebanyakan wanita. Lebih-lebih lagi jika tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Ke mana sahaja pergi semuanya ada makanan, jika tidak mana mungkin Malaysia digelar syurga makanan.

Bagi peragawati terkenal, Fadzlun Abas, beliau mempunyai cara tersendiri yang mudah sahaja untuk kekal langsing sehingga hari ini. Fadzlun yang mula membina nama di pentas peragaan apabila bersara daripada pasukan bola jaring kebangsaan, seolah-olah tidak dimamah usia.

Fadzlun (kanan) ketika memperagakan busana daripada tekstil kraf sempena majlis pelancaran Hari Kraf Kebangsaan 2020. Gambar NSTP/Jim

 

 

Bukan sahaja mempunyai kulit yang mulus dan sempurna, tetapi bentuk badannya kekal langsing walaupun sudah mempunyai tiga anak. Jika kebanyakan rakan peragawati seangkatannya sudah mengundurkan diri daripada bidang peragaan, Fadzlun masih menerima banyak tawaran.

Baru-baru ini, ketika bertemu wanita jelita itu pada pertunjukan fesyen di Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang diadakan bersempena dengan majlis pelancaran Hari Kraf Kebangsaan 2020, beliau sempat menurunkan petua untuk kekal langsing.

Beliau berkata, bagi mengekalkan kulit yang cantik dan memperoleh bentuk badan idaman, setiap wanita perlu memastikan pengambilan air yang mencukupi setiap hari.

“Minum air yang mencukupi setiap hari itu penting, sama ada hendak mengekalkan bentuk badan yang langsing, mahupun memperoleh kulit yang cantik sempurna.

“Oleh itu, pastikan anda minum air seperti yang disarankan, kalau lebih pun tidak mengapa. Saya mengamalkan minum air dengan banyak sejak dulu lagi, cubalah!” katanya yang masih aktif bermain bola jaring.

Perkongsian Fadzlun itu pasti memeranjatkan banyak pihak. Tidak perlu mengambil ubat untuk kurus, mahupun mengawal pengambilan makanan sehingga sanggup berlapar.

Fadzlun mengamalkan pengambilan air yang banyak bagi memastikan kulit cantik sempurna. Gambar NSTP/Jim

Bagi wanita yang hendak mencuba kaedah itu, berikut petua Fadzlun untuk mengekalkan kelangsingan dan juga memperoleh kulit yang sempurna.

Cara kekal langsing:

  1. Pastikan anda mempunyai tidur yang mencukupi, sebaik-baiknya tidur awal.
  2. Banyakkan minum air suam setiap hari, mulakan dengan minum dua gelas air pada waktu pagi.
  3. Amalkan pengambilan makanan yang sihat, terutama dengan memperbanyakkan buah-buahan.
  4. Elakkan tekanan, sentiasa bersikap positif dan tenang bagi mengurangkan tekanan.

Cara jaga kulit:

  1. Pengambilan air yang mencukupi amat penting bukan sahaja untuk kurus, tetapi juga untuk memperoleh kulit yang halus dan licin. Minum air setiap jam.
  2. Paling penting, jangan ambil produk penjagaan kecantikan sembarangan. Gunakan produk yang diperbuat daripada bahan semula jadi.

Bagi yang hendak mencuba kaedah Fadzlun, Hijab & Heels kongsikan petua Fadzlun menerusi video ini.

 

Fadzlena Jafar