Categories: Eat TravelFeatured

Resipi ayam goreng kunyit dimasak garing

Meskipun ayam goreng kunyit dianggap masakan bajet untuk orang bujang, juadah yang enak ini juga digemari kebanyakan keluarga.

Rasanya enak dan paling penting juadah ini mempunyai khasiat lengkap jika dinikmati dengan nasi panas untuk makan tengah hari. Misalnya, nasi akan membekalkan karbohidrat, manakala ayam goreng memberikan sumber protein dan sayur pula menyediakan serat.

Berikutan populariti hidangan yang mudah ini, ada pengusaha kenderaan makanan atau lebih popular dipanggil food truck yang menjadikan perniagaan ayam goreng kunyit sebagai francais.

Ramai menganggap juadah ini mudah dimasak, tetapi selepas cuba beberapa kali, ayam goreng kunyit yang dimasak sendiri tidak serangup yang dimasak di kedai.

Sebenarnya, ada petua untuk menjadikan ayam goreng kunyit lebih rangup. Akaun Instagram @resepiibu.my berkongsi rahsia untuk menghasilkan ayam goreng kunyit yang rangup dan menyelerakan.

Resipi ayam goreng kunyit

Ramuan untuk Ayam Goreng Kunyit. (Gambar NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN)

Bahan-bahan untuk ayam:

Isi ayam, dipotong kecil
6 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung gandum
½ sudu rempah kari
2 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji telur telur
Garam secukup rasa & serbuk perasa kiub ayam Knorr

Bahan-bahan untuk sayur:

Kacang panjang, dipotong panjang (1 inci)

Lobak merah, dipotong panjang (1 inci)

Bawang besar, dihiris  

Cara penyediaan:

Ayam dipotong kiub dan digoreng dalam minyak penuh. (Gambar NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN)

1. Gaul semua bahan untuk ayam dalam mangkuk. Campurkan ayam yang sudah dipotong dan dibersihkan.

2. Biarkan ramuan ayam tadi diperap sekejap.

3. Panaskan minyak (pastinya minyak betul-betul panas) dan masukkan bahan perapan tadi.

4. Apabila ayam sudah garing, masukkan bawang diikuti kacang panjang dan lobak merah.

5. Biarkan seketika sebelum dihidangkan. Ada juga yang meletakkan kicap di atas nasi panas dan sambal belacan berlaukkan ayam goreng kunyit.

Kredit; @resepiibu.my

Fadzlena Jafar