Categories: FeaturedOh Lawa

Seri jadi isteri, Zahirah MacWilson wajah Lebaran Innai Red

Makin berseri-seri wajah pelakon Zahirah MacWilson semenjak berkahwin, tambah menawan dalam persalinan Lebaran, Innai Red yang cukup romantis!

Hadirnya bertepatan pada kemuncak musim Bunga/Panas 2020, suntikan moden dan klasik bersatu dengan baik, menyerlahkan ciri-ciri feminin bagi penggayanya.

Pesona dan perwatakan Zahirah sebagai wanita muda yang anggun, ‘menghidupkan’ setiap helaian koleksi Lebaran jenama lokal terkenal ini.

Pereka fesyen yang juga pemilik label Innai Red, Izrin Ismail, memilih untuk menghasilkan rekaan yang tampak bersahaja dan berfungsi penuh dengan padanan yang sempurna.

Fabrik organza dan sutera satin menjadi teras dalam rekaan berkenaan yang turut menampilkan perincian diinspirasikan dari era 80-an seperti gaya lengan gelembung sebagai tarikan.

Rekaan kebaya, kebarung, kurung labuh dan kurung Kedah dikemas kini dengan DNA rekaan Innai Red yang menggunakan renda halus selain binaan yang kemas dengan lipatan feminin.

 

Rekaan kain yang sedikit senteng buat kebaya dan kebarung kini menjadi kegemaran bagi mereka yang mahu menonjolkan sepatu yang melengkapi penampilan.

Kerongsang tradisional, diefisienkan dengan batuan sulam untuk membentuk seakan kerongsang untuk estetik yang lebih segar.

 

Variasi warna menghiasi koleksi ini, daripada rona garang kepada pilihan pastel, renda dewangga (tapestry lace) dan broket berwarna abstrak.

Harganya bermula daripada RM3,000 hingga RM4,800 dan secara esklusif di butik Innai Red di Plaza Damas.

Wow, mampu ke beli!

Yanie Baharom