Categories: FeaturedSihat

Suruh anak dongak untuk hentikan pendarahan hidung, ini antara kekhilafan ibu bapa

Gejala hidung berdarah yang berlaku pada kanak-kanak, sememangnya membuatkan ibu bapa cepat panik terutama mereka yang kurang pengetahuan mengenai isu kesihatan.

Mulalah terfikir macam-macam, teruk ke jatuh tadi? Sakit ke anak aku ini, kanser ke dia? Jangan ingat tidak ada ibu bapa yang berkelakuan ‘paranoid’ semacam ini. Maklum, ibu bapa mana mana yang tidak sayangkan anak.

Sedikit penerangan bagi anda masih yang belum jelas, bagaimana gejala hidung berdarah atau istilah perubatannya, epistaksis, boleh berlaku.

Epistaksis berlaku apabila salur darah kecil (kapilari) pada rongga hidung pecah disebabkan beberapa punca misalnya kecederaan, korek hidung, udara terlampau sejuk atau kering.

Menghembus hidung dengan kuat, terlalu kerap bersin, jangkitan sinus dan kesan sampingan terhadap penyakit serius iaitu ketumbuhan dalam rongga hidung juga boleh mendorong kejadian itu.

Seperti yang dikongsikan oleh Dr Ahmad Luqman Bukhari, sekiranya berdepan dengan hal kecemasan ini (hidung berdarah) , jangan dongakkan kepala anak.

Ini kerana, darah yang mengalir akan memasuki ke bahagian belakang hidung seterusnya berisiko untuk menyelinap ke paru-paru.

Ibu bapa dikehendaki sentiasa bertenang dan jangan sesekali membuat keputusan secara terburu-buru.

Di bawah ini adalah langkah betul bila berhadapan detik hidung anak berdarah

Mengesat darah dengan cara mendongak seperti ini adalah salah. Foto: Medical News Today

1. Minta anak tunduk dan membongkok ke hadapan. Kemudian picitkan bahagian luar hidungnya. Atau jika anak mampu melakukannya sendiri, ajar dia menekan bahagian hidung selama 15 hingga 20 minit. Kena berterusan ya, jangan berhenti-henti.

2. Mesti bertenang. Perlahan-lahan beritahu anak supaya dia bernafas melalui mulut.

3. Sediakan pek ais dan letakkan pada bahagian dahi. Ini dapat membantu mengecutkan salur darah dan mengawal pendarahan dari hidung.

4. Namun, sekiranya masih terdapat pendarahan yang aktif mengalir, segeralah bawa anak ke hospital berdekatan untuk dapatkan rawatan kecemasan.

5. Jangan masukkan apa-apa objek ke dalam hidung waima air sekali pun. Tak pasal-pasal nanti pendarahan makin teruk, mengalir tanpa berhenti.

Apapun tolong jangan panik. Gejala hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak biasanya berlaku dalam jangka waktu yang singkat dan akan berhenti dengan sendirinya.

Tetapi jika berlaku pendarahan yang berterusan, segera bawa ke hospital.

Yanie Baharom