Categories: FeaturedSihat

Tulisan macam cakar ayam, pegang pensil pun tak pandai, ini penyakit ‘misteri’ anak!

Periksa kerja sekolah anak, tapi sakit mata tengok tulisan macam cakar ayam! Siapa ada masalah ini?

Kalau masih bersekolah tadika boleh faham lagi, tetapi sudah masuk 10 tahun sampaikan tidak faham apa benda yang ditulisnya.

Cara pegang pensil pun salah. Adakah ini normal atau ada kaitan dengan masalah kesihatan?

Ingin tahu apa sebenarnya masalah anak-anak yang masih tidak pandai menulis dengan baik, kemas dan cantik, ikuti penerangan yang dikongsi Doktor Ahmad Luqman Bukhari ini.

“Anak dah masuk umur bersekolah tapi nak pegang pensil pun masih tak pandai. Benda ni makin banyak berlaku sekarang ini. Tapi paling buat saya tersentak bila dapat tahu ada mak ayah yang cop anak dia bodoh, tak pandai belajar, main-main saja dekat sekolah semata-mata sebab si kecil tu tak pandai nak menulis.

“Padahal sebenarnya ada sebahagian anak kita yang nampak bermasalah itu puncanya sebab perkembangan otot-otot halus (fine motor development) pada tangan mereka tu dah terjejas.

“Kesannya mereka tak ada kekuatan otot halus pada tangan dan tak dapat nak kuasai kemahiran memegang pensil. Masalah ini makin kerap dikesan pada anak kecil yang banyak terdedah pada permainan gajet.

“Bermain gajet tu kalau ibu bapa perasan ia hanya menggunakan sentuhan skrin. Tak lebih daripada itu. Akhirnya perkembangan otot halus tangan pun jadi terbantut.

“Kebanyakan pengkaji beranggapan kemungkinan itulah penyebab utama kanak-kanak hari ini tak dapat nak kuasai kemahiran untuk memegang pensil seterusnya tertinggal dalam proses pembelajaran.

“Ada satu kajian dari China mengesahkan yang kanak-kanak yang selalu terdedah pada gajet dan kurang bermain permainan konvensional, fine motor development mereka jauh lebih lambat berkembang berbanding kanak-kanak yang biasa dengan aktiviti permainan manual.

“Tengok-tengokkan anak kita dekat rumah tu betul-betul dan sama-sama kita lakukan empat perkara penting ini ya:

  • Galakkan anak kita untuk bermain permainan konvensional seperti menyusun blok (lego), mewarna dengan crayon, menggunting dan menyusun gambar pelekat.
  • Kekuatan dan kestabilan otot tangan mereka dapat dilatih dengan lebih baik menerusi permainan macam tu.
  • Tolong kawal betul-betul penggunaan gajet. Lebih baik tak usah beri langsung gajet pada anak kita yang umurnya bawah dua tahun sebagaimana saranan daripada American Academy of Paediatrics.
  • Jika anak kita belajar atau menonton melalui aplikasi atas talian, pastikan ibu bapa rajinkan diri untuk duduk bersama anak supaya komunikasi dua hala turut berlaku.

Foto: Online 3G

Sekiranya ibu bapa perasan yang anak kecil itu berdepan masalah ini, usahalah untuk dapatkan rujukan kepada terapi Pemulihan Carakerja.

Terapi itu merupakan satu bantuan yang sangat besar dan mungkin akan mengubah keseluruhan perjalanan hidup anak kita.

Yanie Baharom