Kontroversi pengharaman telefon pintar, Huawei, di Amerika Syarikat selain sekatan menggunakan perisian Android oleh Google, telah membuatkan kehidupan pengasas jenama itu, Ren Zhengfei, tidak lagi privasi seperti dulu.
Ren yang sebelum ini dikenali sebagai seorang ahli perniagaan hebat dengan imej merendah diri dan bersederhana terpaksa bersemuka dengan media apabila isu pengharaman Huawei mendapat perhatian dunia.
Tidak hanya Ren, malah puteri bongsunya yang jelita, Annabel Yao secara tiba-tiba mendadak popular!

Foto: FirstClasse
Baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-21, Yao yang dilahirkan di Hong Kong merupakan anak kepada Yao Ling iaitu isteri kedua kepada jurutera, Ren Zhengfei. Pengasas Huawei yang terbabit secara langsung dalam pembangunan ekonomi serta politik di China itu dikurniakan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki hasil daripada dua perkahwinannya.
Mendekati kehidupan si cantik Yao, dia merupakan penuntut di Harvard dalam jurusan Sains Komputer. Memasang impian untuk mempunyai empayar perniagaan sendiri, Yao dikatakan seorang penari balet yang hebat dan dilatih secara profesional di Harvard Ballet Company.

Foto: dagospia
Menurut laman web Harvard Ballet Company, Yao mula berjinak dalam tarian balet ketika usianya baru 15 tahun di Shanghai. Dia kemudian meneruskan minatnya dan mendalami seni tarian lemah gemalai itu di sebuah akademi yang ternama di United Kingdom.
Tahun lalu, Yao menarik perhatian golongan elit di China dan Eropah kerana terpilih dalam penganjuran majlis tari-menari Le Bal des Debuntantes di Paris pada November 2018. Sebenarnya tidak mudah untuk menyertai acara berkenaan kerana ia bukan majlis biasa, sebaliknya bukan calang-calang acara kerana hanya gadis sosialit berusia di antara 16 hingga 21 tahun yang memiliki rupa paras cantik, berpendidikan dan lahir dari keluarga ternama khususnya dalam bidang perniagaan, hiburan mahupun politik sahaja yang akan dipilih sebagai peserta majlis tari-menari tersebut.
Yao, satu-satunya wakil dari negara China. Selebihnya 18 gadis cantik yang layak, berasal dari India, Amerika, Jerman, Hong Kong, Belgium, Perancis, Portugal dan Filipina. Kesemua mereka akan bertemu dengan jejaka daripada keluarga elit lain di serata dunia untuk saling mengenali dan bersosial dalam kelas bangsawan.

Foto: Vogue
Dua hari sebelum majlis tari-menari bermula, Yao dan peserta wanita lain sempat beramah mesra, menjalani latihan tarian bersama-sama selain terlibat dalam sesi fotografi.
Peserta wanita turut diberi soalan tentang gaya fesyen yang digemari mereka selain diminta memilih busana pilihan masing-masing. Pada majlis itu, Yao memilih untuk menggayakan gaun indah rona champagne rekaan J Mendel.

Foto: Philippine Tatler
Kata Yao, “Bagi individu yang memiliki segala-galanya lebih daripada orang lain, amat penting bagi anda untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan. Seboleh-bolehnya, saya mahu melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan kebajikan.”
Yao juga mengakui selesa menganggap dirinya seorang gadis biasa kerana itu akan mendorong dirinya untuk bekerja keras dalam meraih kejayaan selain menjadikannya insan yang lebih baik setiap hari.
Biarpun sibuk dengan rutin harian sebagai pelajar, Yao gemar menghabiskan masa bercuti ke luar negara termasuk ke New York, Paris, dan beberapa tempat percutian menarik di dunia. Dia juga dilihat sering memakai pakaian dan aksesori berjenama mewah seperti Chanel, Dior, Louis Vuitton dan sebagainya.
Sumber: Nona