Gaya Hidup By: Ad Ops January 9, 2020 @ 10:29am

Ibu bapa perlu tahu etika berkomunikasi di grup WhatsApp sekolah, jangan sampai dibenci!

Seiring dengan kecanggihan teknologi masa kini, pelbagai medium diwujudkan untuk memudahkan guru kelas berinteraksi dengan ibu bapa dalam menyalurkan maklumat serta informasi penting berkaitan pelajaran anak-anak dan perkembangan sekolah.

Namun begitu, saban tahun setiap kali minggu awal persekolahan, pasti isu mengenai grup Whatsapp sekolah akan dibangkitkan di mana terdapat segelintir ibu bapa yang menyalah gunakan platform tersebut untuk perkara yang tidak sepatutnya.

adab masuk whatsapp group sekolah

Platform grup WhatsApp sekolah diwujudkan untuk memudahkan guru berinteraksi dengan ibu bapa berkaitan hal sekolah anak. Kredit foto: Medium

Mungkin ibu bapa yang baru pertama kali menghantar anak ke sekolah berasa teruja dan pada masa sama risau dengan keadaan anak mereka sehinggakan semua perkara mengenai anak ingin diambil tahu.

Ada juga segelintir ibu bapa yang mungkin bersikap over protective terhadap anak sehingga kadang kala tidak sedar sikap mereka memberi ketidakselesaan kepada orang sekeliling.

Antara perkara yang kerap dilakukan ibu bapa ialah bertanya perihal anak setiap masa di dalam grup contohnya seperti di bawah.

“Anak saya okay ke cikgu? Tadi pagi nak pergi sekolah dia menangis, risau saya.”

“Cikgu, minta tolong tengokkan tudung anak saya, tadi saya lupa nak pakaikan pin tudung.”

“Cikgu nak tanya, anak saya tadi waktu rehat makan nasi lemak ke mee goreng?”

“Cikgu Linda, botol air Haikal tertinggal ke? 

Pernahkah ibu terfikir apabila menghantar mesej, adakah guru akan membaca ketika waktu persekolahan? Ibu bapa bukan sahaja mengganggu tugasan guru ketika mengajar, malah mengganggu waktu pembelajaran anak mereka sendiri.

Selain kerap bertanya mengenai anak, ada juga ibu bapa yang akan bertanyakan soalan yang sama kepada guru walaupun guru tersebut sudah memberikan info yang lengkap kepada ibu bapa. Contohnya apabila guru memaklumkan anak perlu memakai baju sukan keesokan harinya.

“Cikgu, esok ke kena pakai baju sukan?”

“Anak saya tak ada seluar sukan warna hitam, boleh tak dia pakai warna biru?”

“Cikgu, esok PJ pagi ke petang?”

“Alamak cikgu, bukan lusa ke kena pakai baju sukan?”

Begitu juga apabila jadual kelas sudah dikongsi, masih ada juga ibu bapa yang bertanya lagi kepada guru.

“Puan Siti, esok ada Matematik kan?”

“Cikgu, esok murid-murid balik jam berapa ye?”

“Cikgu Ani, waktu rehat esok pukul 10 ke? Saya nak datang bawa bekal anak.”

Ini baru sahaja hal berkaitan sekolah, belum lagi termasuk perihal ibu bapa yang berbual perkara yang tidak berkaitan dengan hal sekolah, sembang kosong, menjalankan perniagaan di dalam grup, bergosip dan sebagainya. 

“Hi, cikgu. Tadi saya nampak cikgu di kedai makan tomyam, nak tegur takut mengganggu pula.”

“Saya ada jual kuih raya, sebalang RM35. Kalau nak order bagitau ye.”

“Salam hari minggu semua, cuti-cuti bawa anak pergi mana je?”

Banyak lagi contoh lain yang penulis pasti ibu bapa sendiri pernah berhadapan apabila berada dalam grup WhatsApps sekolah anak. Malah, ada juga mesej yang lebih teruk atau pelik berbanding di atas sehingga membuatkan ibu bapa lain erasa seperti mahu senyapkan sahaja notifikasi yang masuk berjela-jela.

adab ketika masuk whatsapp group sekolah

Notifikasi yang terlalu banyak membuatkan ibu bapa lain terlepas pandang mesej terdahulu Kredit foto: Daily Express

Jadi, sebagai ibu bapa, ketahui etika ketika berada dalam grup WhatsApp sekolah atau apa jua platform yang ada agar tidak mengganggu tujuan mahupun matlamat asal penubuhan grup tersebut.

1. Mesej hal berkaitan persekolahan sahaja

Ini adalah perkara asas yang ibu bapa perlu lakukan. Jangan mesej perkara yang tidak ada kena mengena selain daripada perihal persekolahan sahaja.

2. Jangan mesej perkara sama berulang kali

Mungkin ramai yang menganggap isu ini remeh, namun jika soalan yang sama asyik ditanya, pasti akan membuatkan oang lain meluat. Bayangkan seorang guru perlu mengadap mesej yang sama daripada lebih 35 ibu bapa dalam grup, boleh pening dibuatnya. Rajinkan jari untuk skrol semula mesej sebelumnya untuk mendapat jawapan bagi persoalan yang ditanya.

adab dalam group whatsapp sekolah

Jangan salah gunakan medium grup Whatsapp sekolah dengan perkara yang tidak berkaitan. Kredit foto: Tes

3. Mesej pada waktu pejabat sahaja

Penulis yakin ibu bapa juga pasti tidak suka jika bos di tempat kerja menghantar mesej pada waktu malam untuk bertanyakan urusan kerja. Apa sahaja persoalan yang mahu ditanya boleh dibuat sehingga jam 6 petang. Jika penting, mesej guru kelas anak secara peribadi agar tidak mengganggu ahli-ahli lain di dalam grup.

4. Hormat mereka yang berada di dalam grup

Ya, ini sangat penting. Hormatilah guru serta ibu bapa lain yang berada dalam grup tersebut baik dari segi masa atau privasi mereka. Jika ada kemusykilan atau masalah berbangkit, selesai secara berhemah dan jangan ‘serang’ guru atau ibu bapa lain di dalam grup tersebut. Jadilah individu yang matang dan profesional.

Mungkin ada juga ibu yang tidak bekerja dan mempunyai lebih masa untuk menghantar mesej ke dalam grup. Contohnya menghantar gambar makanan yang dimasak sebagai bekal untuk anak ke sekolah. Tindakan ini hanya akan membuatkan ibu yang bekerja mungkin rasa serba salah, cemburu atau memberi tanggapan yang negatif kepada perbuatan tersebut. Jadi, hentikan sikap seperti itu dan hormati orang sekeliling.

adab mesej dalam group whatsapp sekolah

Antara yang sering dikongsi dalam grup Whatsapp adalah gambar makanan. Kredit gambar: Milo

Apapun, anak-anak adalah cerminan daripada perlakuan ibu bapa. Sebagai ibu bapa, jadilah contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. Jagalah ukhwah sesama manusia dan janganlah kerana perang jari di media sosial, membuatkan ibu bapa bermasam muka sesama sendiri. Gunalah platform yang disediakan dengan sebaik-baiknya untuk kesejahteraan semua.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Tue, 13 Dec 2022
Featured Fri, 3 Apr 2020

Salsabila jual aneka kuih tradisional Melayu di Belanda

Anak jati Pontian sedia khidmat makanan halal

Featured Mon, 27 May 2019
Gaya Hidup Mon, 18 Jun 2018
Featured Fri, 14 Sep 2018

7 Lagu Bertemakan Malaysia Yang Boleh Membakar Semangat Anda

Jom sambut Hari Malaysia dengan menyanyikan lagu-lagi ini sama-sama.

Featured Tue, 12 Mar 2019
Gaya Hidup Thu, 22 Mar 2018

Resepi Air Jagung Kaw, Minum Segelas Gerenti Ketagih

Tambahan pula kalau dapat yang pekat melekat kaw, fuhh..memang ketagih la.

Featured Tue, 16 Apr 2019

Larangan bawa bunga segar ketika melawat pesakit kanser di wad hospital. Peringatan buat semua!

Pesakit yang menjalani kemoterapi mempunyai kurang daya tahan badan.

Gaya Hidup Tue, 31 Mar 2020