Categories: Gaya Hidup

Kempen Cerahi Kehidupan Bersama TOP bantu kanak-kanak Orang Asli

Jenama produk isi rumah terkenal, TOP bekerjasama dengan Tesco menganjurkan kempen Cerahi Kehidupan Bersama TOP bagi menyediakan keperluan persekolahan kanak-kanak Orang Asli di Pahang dan Perak.

Menerusi kempen yang bermula 15 November hingga 15 Disember 2019 itu, sebanyak RM0.30 daripada setiap pembelian produk terpilih TOP di semua cawangan Tesco atau Tesco Online akan disumbangkan bagi membeli pakaian seragam sekolah, kasut, stoking, beg sekolah dan alat tulis baharu.

Latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan menyebabkan ramai kanak-kanak Orang Asli hadir ke sekolah dengan pakaian seragam yang tidak lengkap. Gambar hiasan/Sumber Southern Lion

Pengurus Pemasaran (Divisyen Penjagaan Fabrik) Southern Lion Sdn Bhd (Southern Lion), Ling Ai Li, berkata menerusi inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Cerahi Kehidupan Bersama TOP itu, pihaknya berharap dapat memberi motivasi kepada kanak-kanak Orang Asli untuk mengikuti sesi pembelajaran di sekolah.

“Objektif kempen ini adalah untuk menggalakkan kehadiran kanak-kanak Orang Asli ke sekolah melalui sumbangan pakaian seragam dan kelengkapan sekolah yang dapat meningkatkan keyakinan serta imej diri.

“Selain itu, kami berharap sumbangan ini dapat mendidik kanak-kanak Orang Asli mengenai kepentingan pendidikan dalam kehidupan dan mempunyai penampilan diri yang bersih serta kemas,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Orang Asli mewakili hanya 0.7 peratus daripada populasi rakyat Malaysia dengan sebahagian daripada mereka tinggal di bawah garis kemiskinan. Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025, transisi pelajar Orang Asli daripada sekolah rendah ke sekolah menengah adalah 73.1 peratus berbanding purata kebangsaan 87.19 peratus  pada tahun 2017.

Kadar purata kehadiran pelajar Orang Asli ke sekolah rendah adalah 87.4 peratus, lebih rendah berbanding purata kebangsaan, justeru bantuan pihak korporat penting bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Kebanyakan kanak-kanak Orang Asli berminat untuk ke sekolah, namun ketiadaan kelengkapan persekolahan melemahkan semengat mereka untuk hadir ke sekolah. Gambar hiasan/Sumber Southern Lion

Tahun ini, kempen berkenaan memberi tumpuan kepada komuniti luar bandar membabitkan Orang Asli di Pos Tenau, Kuala Rompin dan Sungai Lembing dengan menyediakan pelbagai keperluan persekolahan, selain menyediakan buku latihan yang diharap dapat mengurangkan beban kewangan keluarga.

Jenama yang menerima Putra Brand Award 2019 Platinum untuk kategori produk isi rumah itu menganjurkan pelbagai program CSR membabitkan pendidikan kerana percaya bahawa setiap kanak-kanak perlu mendapat pendidikan yang baik.

Sejak empat tahun lalu, TOP menganjurkan kempen Cerahi Kehidupan Bersama TOP yang,membantu kanak-kanak daripada beberapa buah rumah anak yatim berusia tujuh hingga 17 tahun dengan kelengkapan sekolah.

Sejak dilaksanakan, kempen itu berjaya membantu lebih 1,800 orang kanak-kanak daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

TOP yang dibangunkan oleh Lion Corporation Jepun, terkenal dengan konsep yang mengutamakan kehidupan bermutu dengan menggalakkan cucian pakaian lebih bersih, selesa dan kesejahteraan hidup lebih baik menerusi inovasi teknologinya.

Fadzlena Jafar