10 Tahun Selesa Dalam Konti, Feeya Lupa Hasrat Jadi Pelakon

Penyampai radio popular, Feeya Iskandar tidak pernah menyangka rezekinya di dalam bidang pengacaraan dan penyampaian radio semakin luas sejak bergelar ibu.

Akui Feeya atau lebih dikenali sebagai Cik Piah ketika ditemui, dia bersyukur terus diberi kepercayaan oleh stesen radio untuk menggalas tanggungjawab sebagai penyampai.

“ Pejam celik, sudah 10 tahun saya bergelar penyampai radio. Cuma di stesen Suria FM baru berkhidmat selama setahun. Banyak pengalaman yang saya dapat sepanjang bersiaran di beberapa buah stesen radio sebelum ini.

“ Selain itu, saya juga mula berjinak dalam bidang perniagaan kosmetik wanita sejak setahun lalu. Bukan apa, saya mahu mencuba sesuatu yang baharu sementara masih muda,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan Feeya Beauty Foundation.

Feeya yang mula dikenali menerusi sebuah program mencungkil bakat lakonan juga mengaku semakin selesa di konti radio.

“ Kalau ditanya berminat untuk berlakon atau tidak, saya rasa kurang laku sebagai pelakon. Rezeki saya di dalam radio jadi saya beri ruang kepada individu yang lebih layak untuk berada di dalam bidang lakonan.

“ Kalau saya berlakon jadi ekstra, sekadar lalu-lalang tu okay lah kot,” kata Feeya tertawa.

Untuk rekod lama, isteri kepada Nurashid Abd Wahab ini pernah bergandingan dengan pelawak Salih Yaacob di Sinar FM selama beberapa tahun.

Wartawan: SGMS Fas

SGMS Faida