Adik Dapat Jawatan Timbalan Pengerusi GiatMARA, Bell Ngasri Respons – “Saya Tak Sedih…Itu Lumrah”

Minggu lalu kecoh di media sosial apabila pelantikan pelakon Datin Anne Ngasri sebagai Timbalan Pengerusi GiatMARA baru-baru ini dipersoal segelintir pihak.

Terbaharu menurut laporan Harian Metro, abang kepada pelakon drama popular Cili Padi itu,  iaitu Bell Ngasri tampil memberi respons terhadap isu tersebut.

Menurut Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, 43, berharap adiknya itu kuat semangat berdepan kecaman yang diterimanya.

“Saya tak rasa sedih kerana itu adalah lumrah, malah orang ramai boleh memberikan apa sahaja pendapat di media sosial.

“Harapnya Anne anggap perkara ini satu cabaran untuk dirinya menjadi orang lebih baik dan mampu untuk terus berjaya di masa akan datang.

“Kalau orang hanya suka dan tidak mengkritik tak guna juga. Hidup kita pula akan membosankan,” katanya.

Ujar Bell lagi, perkara tersebut adalah lumrah bagi setiap manusia untuk menjadi lebih baik dan menyifatkan ujian yang dihadapi akan membakar semangat.

“Bidang lakonan pun begitu juga, kalau hari ini saya berlakon tak semestinya terus jadi ‘hero’. Kebiasaannya mesti akan bermula dengan menjadi pelakon tambahan selepas itu baru boleh naik.

“Saya dalam bidang ini sudah lebih 30 tahun dan pelbagai kecaman diterima. Jadi, sepatutnya Anne yang masih baharu dalam bidang itu jangan mudah jatuh atau kecewa.

“Saya tidak pernah memarahi netizen dan berharap Anne dapat melakukan perkara sama. Saya berterima kasih kerana mungkin apa yang mereka cakap itu boleh berikan cabaran kepada Anne untuk menjadi lebih baik,” jelasnya.

Kata Penerima trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 ini, ia adalah rezeki buat Anne seiring dengan usahanya selama ini.

“Apapun alhamdulillah itu adalah rezeki Anne untuk dapat apa yang dia mahukan. Memang dia pelakon, tapi tak semestinya perlu fokus kepada bidang itu sahaja.

“Ada orang yang berlakon, tapi minat bidang jadi pengarahan atau perniagaan. Adik saya Darling ada syarikat produksi.

“Manakala Anne ada matlamat lain selain berlakon dan ada rezeki dia untuk berjaya dalam bidang diceburi,” katanya.

Terdahulu, pelantikan Anne yang juga Exco Wanita UMNO itu sebagai Timbalan Pengerusi GiatMARA itu dipersoal pelbagai pihak.

Pelantikan tersebut dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah kira-kira dua minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa Kelayakan Yang Dia Ada? Pelantikan Anne Ngasri Sebagai Timbalan Pengerusi GiatMara Dipersoal

ARTIKEL BERKAITAN: Dilantik Sebagai Timbalan Pengerusi Giatmara, Anne Ngasri Luah Rasa Syukur

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi