“Aksi Berlawan Pun Saya Buat Sendiri” – Tak Sangka Dapat Berkongsi Hobi, Heliza Helmi Solat Istikhrah Sebelum Terima Tawaran Berlakon

Penyanyi, pelakon dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi memberitahu dia seorang yang teliti dalam memilih tawaran berlakon.

Menurutnya, dia mahu memastikan agar hasil kerjanya dapat memberi manfaat kepada orang ramai dan bukan sekadar hiburan kosong.

Malah, sebelum memilih sesebuah naskah, dia akan berbincang terlebih dahulu dengan suami serta meminta pandangan gurunya.

“Kalau terima tawaran saya akan solat istikharah dahulu. Kemudian bincang bersama suami dan keluarga. Saya juga akan dapatkan nasihat guru.

“Sebelum buat keputusan kenalah berbincang secara terperinci. Sekiranya ia memberi manfaat barulah saya akan teruskan,” ujarnya.

Berkongsi tentang filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Heliza membawakan watak Siti iaitu seorang pahlawan wanita yang hebat seni mempertahankan diri selain tangkas memanah sambil berkuda.

Katanya, dia tidak menyangka hobinya dalam sukan memanah dan berkuda dapat dikongsikan kepada penonton menerusi lakonan dalam filem tersebut.

“Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Tawaran berlakon ini datang ketika saya baru memulakan aktiviti sukan memanah dan berkuda.

“Ketika itu saya berdoa dan berharap agar sukan sunah ini dapat dikongsi kepada lebih ramai orang, jadi tak mungkin saya tolak tawaran berlakon watak dalam filem ini,” jelasnya.

Meskipun melalui cabaran yang sukar, Heliza tetap melakukan sendiri babak filem itu tanpa bantuan pelakon aksi atau ‘stuntman’.

“Hanya ada beberapa babak sahaja yang bukan saya lakukan sendiri kerana waktu penggambaran saya sedang mengerjakan ibadah umrah. Selain itu semua saya buat sendiri termasuk aksi berlawan.

“Memanglah ada kecederaan dan apa yang dirancang tidak semua menjadi. Kuda ketika berlakon juga tidak sama dengan ketika saya menjalani latihan jadi ada sedikit kesukaran di situ,” kongsinya.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah merupakan ‘spin off’ daripada watak Awang dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Selain Heliza Helmi, filem ini turut dibintangi oleh Fattah Amin, Fazura, Wan Hanafi Su, Hazwani Helmi, Amir Ahnaf dan ramai lagi.

Maya Basir