Artis Bawa Grab, Kenapa Nak Malu?

Biarpun menyandang juara Hero Oven 2016, Naem atau nama sebenarnya Muhammad Naim Ramli mengaku tidak malu memandu Grab untuk menjana pendapatan. Wah, baguslah kalau berfikiran begitu!

Akuinya, pekerjaan yang mula dilakukan sejak tiga bulan lepas itu berikutan dirinya tidak terikat dengan komitmen lain.

“Mungkin saya ada nama, tetapi saya masih lagi baharu dan tawaran mengendalikan program masakan juga bukan setiap hari datang.

“Apabila ada masa terluang, saya akan memandu Grab untuk menambah pendapatan. Pintu rezeki sudah terbuka di depan mata, kenapa tidak saya rebut peluang itu?

“Tiada apa yang hendak dimalukan kerana saya hanya mencari rezeki. Selagi rajin berusaha, insya-Allah dipermudahkan. Kerjaya seni saya juga masih hijau dan belum ada jaminan,” katanya.

Katanya kepada BH Online, Naem tidak menafikan, ada penumpang yang terperanjat apabila melihatnya memandu Grab.

“Ada penumpang yang hairan bila melihat wajah saya. Ada juga yang tidak melepaskan peluang bergambar. Saya tidak kisah memenuhi permintaan mereka. Alhamdulillah, setakat ini saya selesa dengan kerja sampingan ini,” katanya.

Dalam masa sama, Naem juga sedia menerima tawaran berlakon jika diberi peluang.

“ Saya nak mempelbagaikan bakat yang ada,” akhirinya.

SGMS Faida