Categories: HiburanTrending

Ayda Jebat Sedia Cipta Lagu Untuk Penyanyi Lain

Penyanyi Ayda Jebat, 30, ingin meneroka peluang baharu sekiranya ada penyanyi lain yang mahu mendapatkan khidmatnya sebagai komposer.

Pemilik nama penuh Nur Suhada Jebat ini pernah mencipta lagunya sendiri seperti Tak Bisa Lepas, Mana Ada Hati, Nakal Nakal Nakal, Parah Parah dan banyak lagi.

“Saya sering mencipta lagu dan lirik untuk saya nyanyikan sendiri. Kadang-kadang lagu itu dicipta bersama komposer lain, kadang-kadang saya menciptanya sendirian. Saya pernah juga mencipta lagu kempen untuk dinyanyikan oleh saya bersama penyanyi lain.

“Jika ada penyanyi yang mahu menyanyikan lagu ciptaan saya, mungkin saya akan pertimbangkan. Tak salah untuk saya mencuba dan menambah ilmu. Saya sendiri mahu belajar banyak perkara dalam bidang muzik dan salah satunya menerusi cabang penciptaan lagu,” katanya.

Ayda ditemui di majlis pelancaran Malaysia Boleh bersama Milo di Dataran Merdeka ketika sambutan Hari Malaysia pada Jumaat.

Baru saja melancarkan single baharu berjudul Kitalah Juara sempena sambutan Hari Malaysia, lagu terbabit dinyanyikan oleh empat penyanyi berbilang kaum iaitu Ayda, Amir Masdi, Rabbit Mac dan Jestinna Kuan.

“Lagu ini saya cipta dalam masa dua hari sahaja dan dibuat khas untuk Milo. Saya gembira dapat mencipta lagu ini kerana ia dapat menyerlah semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat dan disampaikan oleh penyanyi berbeza bangsa.

“Saya harap lagu ini dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama menuju pencapaian tertinggi sebagai sebuah negara harmoni,” katanya lagi.

Padin