Azhar Sulaiman Sebak Dengan Pemergian Ridzuan Hashim – “Saya Sangat Sedih Dia Dah Tak Ada”

Pelakon Azhar Sulaiman tampil meluahkan rasa sebaknya selepas mendengar berita duka cita mengenai pemergian aktor Ridzuan Hashim, semalam.

Terdahulu, Allahyarham Ridzuan yang juga merupakan bekas suami pelakon Didie Alias telah dimaklumkan meninggal dunia selepas disyaki terkena serangan jantung, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Suami Didie Alias, Pelakon Ridzuan Hashim Meninggal Dunia

Menerusi sebuah perkongsian di TikTok, Azhar menyifatkan pemergian Allahyarham Ridzuan sebagai satu kehilangan yang besar dalam industri hiburan tanah air.

Malah, pelakon itu juga sempat mengimbau detik awal perkenalannya bersama Allahyarham ketika mula menceburi diri dalam bidang lakonan.

“Pemergian abang Ridzuan Hashim atau pun abang Awin yang saya kenal sejak saya muda lagi adalah satu kehilangan yang sangat besar dalam industri seni kita. Saya kenal dia masa saya baru berlakon lagi masa tu dia model.

“Saya dibesarkan dengan nama-nama seperti Roslan Baba, Sulaiman Hashim dan Ridzuan Hashim, ni nama-nama yang kakak saya selalu sebut masa zaman saya kecil dulu. Mereka ni macam lelaki idaman kakak-kakak saya.

“Jadi, oneday dah jadi pelakon saya pun berkawan dengan mereka. Saya pun belajar banyak perkara tentang nak menjadi gentleman dengan mereka.

“Satu kehilangan yang besar dan saya sangat sedih dia dah tak ada. So, jomlah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah Ridzuan Hashim. Semoga berehat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.

@theazharsulaimanSedekahkan lah Al fatihah Buat Arwah Abang Riduan Hashim.♬ original sound – AzharSulaiman
Fatin Nurain