Azharina Lega Tiket Konsert Laku Macam Jual Goreng Pisang Panas!

Penyanyi Azharina mengakui terkejut apabila tiket bagi menyaksikan konsert sempena 18 tahun pembabitannya dalam bidang seni laku bak goreng pisang panas!
Menurutnya, dia dimaklumkan sebanyak 200 tiket telah berjaya dijual dan yakin ia akan habis dijual sebelum konsert berlangsung.
“ Saya tidak menjangka langsung tiket laku memandangkan ia belum dijual secara rasmi dan orang sudah membuat tempahan awal.
“ Alhamdulillah, saya bersyukur dengan sambutan awal tersebut dan yakin tiket akan habis dijual sebelum bulan Jun,” katanya.
Kata penyanyi berusia 34 tahun ini, pada awalnya dia bimbang dengan penjualan tiket memandangkan faktor ekonomi pada masa ini.
“ Saya risau jika tidak ramai yang nak berbelanja untuk membeli tiket. Alhamdulillah, nampaknya rezeki menyebelahi saya kali ini. Konsert ini sememangnya ditunggu oleh peminat selepas sekian lama menanti,” katanya yang berjanji memberikan persembahan hebat pada hari itu nanti.
Konsert ini bakal berlangsung pada 29 Jun di Royale Theatre Shah Alam, Selangor anjuran Atlas One Events Sdn. Bhd.
Tiket mula dijual malam ini di www.atlasoneevents.com pada harga RM288 (VIP), RM188 (kategori A), RM158 (kategori B) dan RM108 (kategori C).

SGMS Faida