“Baju Terakhir Arwah Sebelum ke Hospital Jadi Pengubat Rindu” – Shuib Batal Niat Ubah Suai Rumah Gara-Gara Mimpi Sedih

Pelawak Shuib membuat perkongsian tentang hasratnya untuk mengubah suai kediaman yang pernah didiami bersama arwah isterinya, Siti Sarah.

Namun, perancangannya itu terpaksa dibatalkan kerana dia dapat petanda bahawa arwah Sarah tidak bersetuju dengan hasratnya itu melalui satu mimpi sedih.

Ditanya mengenai sebab untuk mengubah suai rumah tersebut, Shuib menjelaskan bahawa dia inginkan suasana baru.

“Selepas enam bulan arwah meninggal dunia pernah terfikir hendak ubah suai rumah untuk memberi suasana baru dan saya sudah berbincang dengan pereka dalaman.

“Bagaimanapun bulan lalu saya batalkan Hasrat tersebut selepas saya mendapat mimpi sedih.

“Dalam mimpi itu saya masuk ke rumah baharu, namun ketika itu tercari-cari arwah tapi tiada. Ketika itulah saya sedar arwah sudah meninggal dunia,” katanya kepada mStar.

Memetik laporan mStar, Shuib mengakui bahawa emosinya terganggu akibat mimpi tersebut dan dia mengambil keputusan untuk terus tinggal di rumah yang telah didiami hampir empat tahun.

Bagi mengubati rindu terhadap arwah Sarah, Shuib menyatakan dia masih menyimpan pakaian milik arwah untuk ditatap dan dipegang saat terkenangkan arwah isteri tercintanya.

“Barang-barang arwah masih saya simpan. Kalau terkenang bolehlah lihat dan pegang.

“Baju terakhir yang dipakai arwah sebelum ke hospital saya masih simpan. Itu jadi pengubat kerinduan terhadap arwah,” luahnya ketika ditemui di majlis bacaan tahlil sempena setahun pemergian Sarah.

Untuk makluman, Siti Sarah telah pergi menghadap pencipta untuk selamanya pada 9 Ogos tahun lalu akibat Covid-19 di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Sumber: mStar

Atiqah Johari