Bawa Genre Dangdut, Feel Koplo Besar Hati Mahu Remix Lagu Siti Nurhaliza

Band popular Indonesia yang terdiri dari tiga orang anak muda dikenali sebagai Feel Koplo mungkin sedikit asing bagi peminat di Malaysia.

Namun, jika diteliti dari jumlah tontonan menerusi platform media sosial mereka, ternyata band ini bukanlah calang-calang walaupun mengetengahkan genre muzik dangdut elektronik.

Justeru, sempena meraikan festival Aku, Muzik Dan Kamu 2.0 yang bakal berlangsung di Johor Bharu pada 18 Jun depan, Feel Koplo mengaku ia adalah momen yang paling ditunggu-tunggu oleh mereka.

“Ini momen yang paling ditunggu-tunggu oleh Koplo.

“Malah set list nya juga kini masih dalam proses, kerana perlu mengikut rentak dan minat pendengar di Malaysia,” katanya.

Perkara itu dikongsi oleh salah seorang anggota Feel Koplo iaitu Maulfi Ikhsan ketika sesi sidang media yang diadakan secara virtual pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai persembahan yang bakal dibawakan pada 18 Jun nanti, Maulfi berkongsi, bahawa mereka bakal berduet dan membawakan lagu Masdo secara remix pada acara berkenaan.

Katanya, ini disebabkan mereka sudah mengenali kumpulan Masdo ketika acara muzik yang pernah diadakan di Indonesia, selain mereka juga amat meminati lagu-lagu Masdo terutamanya lagu berjudul, Dinda.

“Kenapa kami memilih Masdo, ini kerana kami sudah lama mengenali mereka ketika acara yang diadakan di Indonesia. Malah, kami juga meminati lagu mereka berjudul, Dinda. Lagu itu juga cukup terkenal disini.

“Justeru, memandangkan kami satu sama lain sudah mengenali, maka proses kerjasama untuk manggung (membuat persembahan bersama) lebih mudah,” ulasnya.

Ketika ditanya apakah lagu yang mereka teringin remix kan, Feel Koplo tanpa berfikir panjang berbesar hati untuk menjadikan lagu-lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai lagu remix mereka.

“Selain Masdo, Sheila Majid (Sinaran), kami juga berbesar hati mahu remix lagu Siti Nurhaliza,” kongsinya.

Dalam pada itu, Feel Koplo  menjelaskan kenapa figura Siti Nurhaliza terkenal dalam kalangan anak muda di Indonesia.

“Untuk remaja yang lahir tahun 90-an dan ke atas, saya rasa muzik Siti itu masih berbekas di dalam hati. Kenapa? Mungkin hampir kesemua stesen tv di sana mengikuti perjalanan Siti tidak kiralah sama ada gosip atau sebaliknya.

“Bahkan, Siti juga seringkali muncul di televisyen,” ujarnya.

Sekadar info, Feel Koplo juga pernah membuat persembahan bersama artis terkenal antarabangsa seperti, The Walters dan Alan Walker.

Salma Syahbuddin