Berehat Jadi Penyampai Radio, Riena Diana Tumpu Bidang Lakonan

Aktres Riena Diana semakin selesa menumpukan fokus dalam dunia lakonan dan mahu berehat seketika menjadi penyampai radio.

Menurut Riena, agak sukar untuk memberi komitmen sepenuhnya sebagai pelakon dan penyampai radio pada masa yang sama.

“Saya rasa pengalaman berlakon dan jadi penyampai radio pada masa yang sama agak sukar sedikit. Bayangkan kalau saya buat slot petang di radio, pukul 8 pagi saya dah kena ada di set penggambaran dan pukul 2 petang perlu ke konti dan selepas tamat, saya perlu ke set penggambaran semula.

“Jadi, ia agak sukar untuk saya lakukan tetapi saya sangat bersyukur dapat pengalaman untuk menjadi penyampai radio. Manalah tahu di masa akan datang, sekurang-kurangnya saya ada pengalaman dan ia tercatat dalam resume saya sebagai penyampai radio,” katanya.

Walaupun minatnya dalam dunia lakonan, bintang Kampung People ini mendedahkan kerjaya sebagai pelakon lebih sukar berbanding penyampai radio.

“Sejujurnya, saya lebih gemar berlakon. Tetapi ia sukar berbanding menjadi penyampai radio. Kerjaya di radio ada cabaran tersendiri tetapi ia lebih senang kerana selesa bekerja di konti, dalam ‘air cond’ dan durasi masa on air pun tidak panjang seperti menjalani penggambaran.

“Tetapi minat saya lebih kepada menjayakan watak dan karakter, jadi itu menjadi sebab saya mengutamakan bidang lakonan berbanding radio,” kata bekas penyampai Hot FM ini.

Riena ditemui di majlis berbuka puasa Beauté Library di K’Seena House, Kuang pada Rabu.

Seiring dengan semangat Ramadan, jenama itu memperkenalkan semula rawatan terlaris mereka iaitu Rawatan Pigmentasi PicoSpot melalui satu kempen khas, istimewa untuk raya yang bertajuk Oooh-mazing Raya with Beauté Library yang dibintangi oleh Riena.

“Ia berkisar mengenai interaksi antara watak utama yang saya jayakan. Saya bermonolog tentang kekecohan, kemeriahan dan cabaran Hari Raya bersama ahli keluarga dan teman-teman. Saya merasakan naskhah ini sebagai sebuah karya yang sangat segar, menarik dan lucu serta melengkapi suasana Hari Raya anda tahun ini,” katanya lagi.

Nurul Hana