Berlaku Sedikit Kekecohan, Diana Danielle Tepis Pelukan Farid Kamil

Kemelut rumah tangga, pelakon Farid Kamil dan isteri tercintanya, Diana Danielle seakan tiada jalan penyelesaian apabila aktres jelita itu tetap dengan pendiriannya untuk berpisah.

Satu perjumpaan antara Farid dan Diana bersama Jawatankuasa Pendamai (JKP) telah berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari Shah Alam, pada pagi Selasa.

Namun begitu, usaha Farid untuk memujuk hati isterinya semula gagal selepas pemberian sejambak bunga mawar merah dan sebentuk cincin emas tanda ulang tahun perkahwinan mereka ke-11 tahun tidak diterima oleh Diana.

Malah, keadaan menjadi lebih tegang apabila berlaku sedikit kekecohan ketika Farid cuba untuk menjelaskan sesuatu kepada Diana di ruang menunggu luar pintu Dewan Bicara Mahkamah Rendah Syariah.

Lebih mengejutkan apabila cubaan Farid untuk memeluk isteri tersayangnya itu gagal apabila Diana menepis pelukannya lalu beredar yang disaksikan oleh peguam kedua-dua belah pihak.

Susulan itu, Diana kelihatan bengis dan marah atas perbuatan suaminya itu namun pantas ditenteramkan oleh peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Kredit foto: Malaysia Gazette (Mohd Adzlan)

ARTIKEL BERKAITAN: Krisis Rumah Tangga Disebabkan Kehadiran Pihak Ketiga, Farid Kamil Dakwa Isteri Terkantoi – “Saya Sudah Sedaya Upaya Pujuk Diana Danielle”

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu Raikan Ulang Tahun Ke-11, Farid Kamil Turut Hadiahkan Cincin! Tapi Kena Reject Dengan Diana Danielle – “Bunga Pun Dibuang, Apatah Lagi Cincin”

ARTIKEL BERKAITAN: “Itu Semua Fitnah! Masalah Timbul Sebab Kesalahan Dia 100 Peratus” – Diana Danielle Tepis Dakwaan Berlaku Curang

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Perempuan Trauma, Fadzil Zahari Keliru Dengan Kenyataan Diana Danielle – “Sekiranya Anak-Anak Takut Dengan Bapa Tentu Mereka…”

Aqilah Paharuzi