‘Block Tak Bermaksud Mahu Cari Gaduh Tapi…’ – Lan Solo Jawab Dakwaan Sekat Anggota Kristal di Instagram

Susulan kenyataan Rody dan ahli kumpulan Kristal memaklumkan sudah lama tidak berhubung dengan Lan Solo disebabkan disekat di laman Instagram, Lan tampil memberi penjelasan.

Menerusi laman Instagram, Lan memaklumkan  dia mempunyai alasan tersendiri bertindak demikian.

“Mengenai dakwaan saya menyekat individu/mereka di Instagram, saya tidak mahu hal ini menjadi persoalan besar kerana saya ada alasan tersendiri.

“Bagi saya media sosial adalah ruang komunikasi saya dengan followers dan di situ saya boleh berkongsi perkara mengenai kehidupan, kerjaya atau apa sahaja,” tulisnya.

Tambah Lan, tindakan dia menyekat akaun seseorang tidak bermaksud dia mahu memulakan pergaduhan tetapi mahu menghindarkan hal negatif.

“Followers saya tak berjuta pun dan saya rasa perlu lebih fokus kepada showcase saya Mac ini dan menumpukan promosi lagu baru saya iaitu Twist Abang Sayang yang baru saja dilancarkan di Youtube.

“Saya lebih memikirkan perkara positif untuk saya terus ke depan dan mengekalkan transisi Lan Solo,” jelasnya.

Terdahulu,Lan didakwa menyekat Instagram anggota Kristal di mana Rody dan semua anggota kristal tidak dapat berhubung dengan bekas vokalis kumpulan itu.

Lan membuat kejutan apabila mengundurkan diri daripada kumpulan Kristal selepas berlaku krisis dalaman ketika menyertai Gegar Vaganza.

SGMS Faida