Buka Baju Bukan Isu Besar, Hafidz Roshdi Masih Tahu Batas

Pelakon Hafidz Roshdi mengaku menerima banyak teguran daripada netizen mengenai tindakannya membuka baju di Instagram.

Kata Hafidz, dia tidak menganggap hal itu sebagai satu isu besar dan masih sedar dengan batasan di media sosial.

“ Ramai yang tegur mengenai perkara ini sehingga ada pengikut Instagram meninggalkan komen mengenai tindakan ini, tapi bagi saya, ia bukan satu isu besar.

“ Selagi masih menjaga batas dan tidak mendedahkan aurat, saya tidak rasa tindakan ini salah. Setiap gambar yang dimuat naik saya akan menutup bahagian pusat.

” Malah saya juga kerap memakai tali pinggang senaman yang menutup pusat supaya aurat tidak terdedah. Jika tidak, saya menyunting dahulu foto terbabit yang dimuat naik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan pertama kedai menjual produk alternatif berhenti merokok NCIG di Desa Sri Hartamas, di sini, baru-baru ini.

Majlis terbabit turut dihadiri pengasas NCIG, Shariffuddin Bujang dan rakan artis lain seperti Aedy Ashraf, Hefny Sahad serta Farhan Asri.

Menurut Hafidz, dia sudah mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam sebelum bergelar artis lagi.

“Bagi peminat yang mengikuti saya di akaun Instagram lama sebelum ia digodam, pasti mereka tahu saya sudah lama aktif melakukan aktiviti kecergasan.

“Dari dulu lagi, saya memang suka berkongsi foto terbabit untuk memotivasikan diri dan orang ramai.

“Tujuan saya adalah untuk kekal sihat dan mendapat tubuh badan yang ideal. Malah, saya gemar ambil gambar selepas bersenam untuk melihat perkembangan badan supaya kelihatan lebih cergas.

“Saya harap tiada pihak salah faham atau menjaja cerita yang bukan-bukan,” katanya.- Harian Metro

SGMS Enal