Anak Belum Usia Setahun, Adira Mengaku Terkejut Hamil Lagi

‘ Bukan tak nak bagi masa, ini rezeki saya,’ demikian kata penyanyi Adira berhubung kehamilannya yang kini memasuki usia tujuh bulan.

Kata penyanyi Pujaan Hati ketika ditemui di majlis pelancaran tudung Hermanas semalam memberitahu dia langsung tidak menjangka bakal menerima anak ketiga secepat ini.

“ Jujurnya saya sendiri terkejut ketika mendapat tahu. Pada masa itu, usia kandungan saya sudah memasuki lima bulan.

“ Memandangkan saiz perut dan tubuh juga tidak menunjukkan perubahan, itu yang membuatkan saya lebih terkejut.

“ Saya masih ingat waktu itu saya berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan seperti biasa, tak sangka pula terima berita gembira.

“ Ini merupakan pengalaman kedua saya mengandung di bulan Ramadan. Tiada alahan atau mengidam apa-apa makanan pelik. Saya juga larat bekerja seperti biasa,” kata Adira bersyukur.

Tambah Adira, dia tidak kisah mengenai jantina bayi memandangkan sudah memiliki sepasang anak lelaki dan perempuan.

“ Asalkan sihat, saya okay kalau dikurniakan anak lelaki atau perempuan,” akhirinya.

Adira berkahwin dengan Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red pada 3 Disember 2015 di Songkhla dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Anggerik, 2 dan Assan, 8 bulan.

SGMS Faida