Dakwaan Dikongkong Janna Nick, Adam Lee Mula Bersuara!

Pelakon baharu, Adam Lee menafikan dakwaan kerjaya dan perihal peribadi dikawal oleh sepupunya iaitu pelakon, Janna Nick.

Tidak merahsiakan hubungan persaudaraan yang terjalin, Adam bagaimana pun memilih untuk tidak dibayangi oleh sepupunya yang lebih dahulu menapak dalam bidang seni tempatan.

“Tidak dinafikan kerjaya seni saya banyak disokong oleh rakan selebriti terutamanya Janna Nick dan Sweet Qismina. Mereka berdua banyak mengajar selok belok bidang seni terutamanya ketika di awal kemunculan dahulu.

“Saya mula menapak sejak berusia 19 tahun lagi, namun baru-baru ini saya nama saya menjadi bualan. Janna sama sekali tidak membuat keputusan mengenai kerjaya seni, sebaliknya berkongsi pengalaman bagi membantu perkembangan kerjaya saya.

“Tidak pernah merahsiakan ikatan persaudaraan dengan Janna, saya tidak mahu dibayangi nama sepupu sendiri. Biarlah ambil masa, asalkan saya menggunakan usaha sendiri untuk mencipta nama dalam bidang seni,” kata Adam kepada Xtra.

Nama Adam mula menjadi bualan sejak menjadi teraju utama drama rantaian Adam Chempaka. Adam turut tercalon dalam senarai awal bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32.

Sementara itu, Adam mengakui sangat selesa berkawan dengan Sweet semenjak perkenalan mereka sekitar Oktober lalu.

“Kami mula berkenalan sekitar Oktober lalu. Kami tak sangka hubungan yang mulanya sekadar kawan menjadi lebih serius. Alhamdulillah saya selesa dengannya dan kami saling mengenali dengan lebih rapat.

“Berani berterus terang kerana saya tidak mahu berdolak dalik apabila ditanya mengenai hubungan dengan Sweet. Insya-Allah… Sekiranya ada jodoh, saya berhasrat membawa hubungan ini ke peringkat seterusnya,” kata Adam.

Oleh: Zaara Talita

SGMS Faida