Dedah Rahsia Kekal Ramping, Amy Mastura Jarang Makan Nasi Sejak…

Penyanyi dan pelakon, Amy Mastura mendedahkan rahsia badannya kekal ramping kerana pernah mengalami alahan makan nasi semasa mengandungkan anak pertamanya, Adriana 20 tahun lalu.

Menurut Amy, dia tidak mempunyai masalah kesihatan walaupun tidak mengamalkan makan nasi seperti individu lain dan kerap makan manis.

“Sejujurnya saya memang kurang makan nasi. Semasa mengandung Adriana, saya alah dengan bau nasi dan sejak itu keinginan untuk makan nasi dah hilang.

“Entah kenapa saya tak suka dengan bau nasi. Namun saya masih makan nasi tapi kuantitinya tak banyak sangat. Kalau makan pun dua tiga sudu sekadar nak campur dengan lauk.

“Kalau tiada nasi pun tiada masalah bagi saya dan digantikan dengan apa-apa pun okay. Tapi rasa manis kena ada. Saya amat menggemari kek coklat dan mujurlah tiada penyakit diabetis,” katanya.

Terdahulu, rata-rata peminatnya kagum dan memuji penyanyi itu awet muda kerana wajahnya yang tidak makan usia.

Malah, rata-rata peminatnya menyifatkan wajah Amy kelihatan muda berbanding usia sebenarnya ketika penyanyi itu membuat perkongsian gambar perkahwinannya bersama suami, Alvin Tham Suffian sekitar tahun 2000.

Amy juga pernah mendedahkan sikapnya yang suka bergurau dengan suami merupakan salah satu petua awet muda serta kebahagiaan rumah tangga mereka yang kini sudah memasuki usia 22 tahun.

Amy dan Alvin dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Adriana, 21, dan Adalia, 18.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain