Diana Rafar Syukur Program ‘Dari Poket Artis Ke Poket Artis’ Dapat Bantu Bintang Veteran, Terharu Ramai Selebriti Nak Kongsi Rezeki

Pelakon Diana Rafar berkongsi detik tercetusnya program ‘Dari Poket Artis Ke Poket Artis’  bagi membantu golongan selebriti veteran yang memerlukan.

Menurut Diana, program tersebut turut mendapat sokongan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada majlis Santai Selebriti bersama Mufti Selangor di Laman Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini.

“Pada mulanya, LZS hubungi saya untuk adakan majlis bersama Mufti Selangor dan mereka suruh ajak rakan-rakan selebriti lain untuk bersoal jawab tentang zakat.

“Jadi saya berminat dan terfikir untuk ajak artis veteran dan mereka kata terpulanglah sebab itu adalah program saya dan lokasi majlis juga di rumah saya.

“Idea ini tercetus pada sebulan lalu. Memang rezeki, tiba-tiba saya dapat tahu Mufti nak datang rumah saya, saya macam tertanya, kenapa rumah saya. Mesti ada sesuatu yang beri rezeki pada kami,” katanya ketika ditemui pemberita.

Hadir sama dalam majlis ini, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr. Anhar Opir dan Ketua Divisyen Kutipan, Muhd Fikri Naim Harun.

Tambah Diana, dia bersyukur segala usahanya dipermudahkan malah memaklumkan lebih ramai rakan selebriti yang turut berminat untuk membantu.

“Setiap malam saya berdebar sebab rasa tak sabar untuk saya sampaikan semua sumbangan. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

“Bila program ini tersebar, ramai rakan-rakan artis lain yang hubungi dan berminat untuk buat program ini bersama.

“Sambutan itu sangat baik, saya juga segan nak minta pada mereka, tapi ikut keikhlasan mereka juga untuk beri. Saya bukan minta sedekah tetapi saya minta sama-sama bantu,” ujarnya.

Kongsinya lagi, dia berharap usahanya ini akan terus diperluas dan turut mendapat sokongan rakan selebriti lain bagi meringankan beban artis veteran.

“Memang program ini saya yang mulakan, tapi ramai yang meminta saya untuk teruskan. Jadi saya kena teruskan perjuangan ini dan saya kena beri peluang kepada ramai lagi untuk bersedekah.

“Saya bukan tak mahu serahkan pada artis lain untuk teruskan, tetapi saya mahu ramai lagi sertai bersama saya, mungkin selepas ini Neelofa, Amyra Rosli dan ramai lagi.

“Kalau nak ikutkan, artis veteran ini dah tiada job dah, mungkin dengan program ini adalah gaji mereka. Tak salah untuk kita panggil orang yang sama.

“Saya terkejut, bila saya hubungi mereka dan kata nak beri sumbangan, mereka terus menangis kerana terharu. Mereka sangat menghargai,” tutupnya.

Program ‘Dari Poket Artis Ke Poket Artis’  ini turut mendapat sokongan rakan artis lain yang bergelar usahawan seperti Mila Jirin, Zizan Razak dan Syatilla Melvin.

Khairil Khusyairi