Shuib Tinggalkan Kerjaya Penyampai Radio Selepas 2 Tahun, Mahu Fokus Perniagaan

Pelawak dan penyampai radio Shuib menamatkan perkhidmatannya bersama stesen radio Suria FM berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) menerusi kenyataannya kepada media apabila memberitahu, Shuib mahu memberikan fokus terhadap perniagaannya.

“Kerjasama yang telah terjalin selama hampir 2 tahun ini merupakan satu langkah strategik bagi Suria FM dalam rangka perancangan bagi tahun 2023 lalu melibatkan kolaborasi khas dengan Shuib untuk beberapa tempoh sahaja disamping beliau ingin menumpukan sepenuhnya kepada perniagaannya yang semakin berkembang.

“Komitmen Shuib bersama Suria FM bukan sahaja menjadi sebahagian daripada perancangan tahunan stesen radio, tetapi juga menjadi satu pengalaman yang amat berharga buat kami.

“Mewakili keluarga Suria FM, kami berterima kasih diatas segala komitmen padu dan elemen kreatif yang dibawakan oleh Shuib kepada stesen radio kami. Diharapkan beliau terus berjaya dalam setiap usaha perniagaan dan kerjayanya,” katanya.

 

Walau bagaimanapun, Suria FM turut berharap akan terus menjalin kerjasama dengan Shuib pada masa akan datang.

Namun, menjawab persoalan siapakah yang bakal menggantikan Shuib, pihaknya masih belum memutuskan mengenai perkara itu kerana masih terlalu awal untuk membuat keputusan.

Salma Syahbuddin