Didakwa Lima Kesalahan Amang Seksual, Ini Respons PU Azman

Penceramah selebriti, PU Azman telah didakwa terlibat dengan jenayah amang seksual di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan.

Memetik laporan Boom, Azman atau nama sebenar Azman Syah Alias meluahkan rasa syukur atas doa-doa orang ramai.

“Terima kasih kerana sudi menunggu dan amat hargai doa semua pihak.

“Alhamdulillah, proses pertuduhan berjalan lancar dan saya serahkan segala urusan kepada peguam,” ujarnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Azman atau lebih mesra disapa Cik Man didakwa atas lima kesalahan melakukan amang seksual terhadap dua remaja antara Februari hingga Julai lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berusia 41 tahun ini akan menghadapi hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly meminta mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadapnya iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Namun, peguam tertuduh, Mohamad Zahid Ahmad merayu jaminan rendah memandangkan pendapatan penceramah yang terjejas sejak direman bulan lalu dan perlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan dan dilarang menghampiri kedua-dua mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Selain itu, pada setiap bulan, Cik Man perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dijadualkan pada 8 Disember ini.

Sumber: Boom

Maya Basir