Didakwa Miliki Kekayaan Lebih RM222 Juta, Ini Respons Shila Amzah

Penyanyi Shila Amzah tampil menafikan dakwaan yang mengatakan kekayaannya kini mencecah US$50 juta atau lebih RM222 juta.

Perkara itu dikongsi Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah, 31, menerusi aplikasi soal jawab di Instagram miliknya.

Enggan berkongsi dengan lebih lanjut, Shila bagaimanapun membalas persoalan yang diajukan oleh peminatnya itu dengan jawapan yang cukup ringkas.

“Ishhh…. mustahil lah,” tulisnya.

Sebelum ini nilai kekayaan itu pernah dikongsi dan dicatatkam menerusi laman web Celebrity Net Worth pada tahun 2016.

Terdahulu, pada 2012, Shila pernah memenangi tempat pertama pertandingan nyanyian, Asian Wave yang berlangsung di Shanghai, China dengan hadiah kemenangan berjumlah RM2.5juta.

Shila juga pernah diberi bayaran sebanyak RM25,000 untuk persembahan selama 30 minit.

Selain itu, ketika ditanya sama ada pernah atau tidak terfikir untuk berkahwin dengan orang yang lebih kaya agar tidak perlu bekerja, penyanyi itu bagaimanapun menjawab dia tidak memikirkan sangat tentang apa yang dimiliki bakal suaminya nanti.

“Kalau boleh, Sha tak nak fikir sangat apa yang lelaki itu ada. Sha kena kaya sendiri. Yang paling penting memang saya suka kerja keras untuk diri sendiri dan keluarga.

“Siapa pun bakal (suami) selepas ini, Sha tak pernah letak syarat yang dia harus kaya, tapi dia harus rajin,” jelasnya.

 

 

Sumber: Instagram

Salma Syahbuddin