Dikutuk Kerana Tinggal Anak, Datin Vivy Tak Mudah Melatah

Selalu tak dengar kawan-kawan kita cakap “I need another holiday to recover from this holiday” lepas bercuti dengan anak-anak? Sebab bila dah melancong dengan anak-anak tu, panjang cerita dia. Dari lah ‘packing‘ baju anak beranak sebelum percutian…sampai lah balik dari bercuti dan nak mengadap baju kotor berbakul-bakul!

Jadi, bila sesetengah orang pergi melancong dengan teman-teman rapat, tanpa anak, tanpa suami..hey, I feel ya! Kalau orang ‘bishe-bishe’ (biasa-biasa) pun perlukan an all girls trip, inikan pula selebriti dan usahawan yang sibuk 24 jam macam Datin Vivy Yusof. Tapi tak sangka, dalam perkongsiannya pegi berlibur di Kepulauan Bali, Indonesia dengan teman-teman, ada yang ambil masa nak mesejnya secara peribadi hanya untuk membidas percutiannya itu.

“Semasa percutian ini saya terima beberapa mesej dari pengikut saya bertanya bagaimana saya boleh tinggalkan anak untuk bergembira dan ibu jenis apakah saya ni.

“Saya tidak ambil hati dengan pertanyaan tersebut kerana ibu saya juga bertanyakan benda yang sama. Tetapi saya faham, kerana benda sebegini asing bagi generasinya.

“Sejujurnya, saya tidak rasa ia adalah satu kesalahan bagi seorang ibu untuk menikmati waktunya berasingan – waktu khas untuk suami/isteri sahaja, waktu untuk teman-teman, waktu untuk kerja, termasuklah waktu untuk menyendiri. 

“Saya rasa ia adalah sesuatu yang sihat terutama sekali kerana kita hidup di persekitaran yang mencabar dan perlu menghilangkan stress. Asalkan tidak keterlaluan dan mendapat kebenaran suami, dan anak-anak juga di bawah jagaan yang baik, bukan bermaksud kita adalah seorang ibu yang teruk hanya kerana tidak bersama mereka 24 jam.” kata Vivy. 

Menurutnya lagi, dia kerap membuat panggilan video untuk bercakap dengan anak-anaknya Daniel, Mariam dan Sarah dan juga membeli ole-ole yang mungkin mereka sukai.  Pulangnya dari percutian itu, Vivy berkata dia amat merindui anak-anaknya dan mereka juga begitu, jadi mereka meluangkan masa berpelukkan seharian dan bercerita tentang aktiviti masing-masing. 

Tambah Datin Vivy, dia tidak memaksa sesiapa pun untuk bersetuju dengan pendapatnya, tetapi sebagai ibu kita tidak sepatutnya menilai dan menghukum satu sama lain atau mempertikaikan cara seseorang ibu mendidik dan menjaga anak masing-masing kerana menjadi seorang ibu itu adalah sesuatu yang sensitif dan bersifat peribadi. You Go Girl!

 

Del14