Categories: HiburanTrending

Dilabel Tiada Fungsi Dalam Industri Muzik, Erin CTJ Jadikan Kritikan Sebagai Pembakar Semangat – “Sia-Sialah Kalau Saya Patah Semangat”

Penyanyi, Erin CTJ meluahkan rasa sedih dengan kritikan netizen yang mengatakan dirinya tidak bernasib baik dalam industri seni tanah air.

Dakwa netizen, Erin seakan-akan tidak memberi apa-apa sumbangan dalam dunia muzik meskipun sudah mengeluarkan 9 lagu dan mula menyanyi sejak usia lapan tahun.

“Ada yang cakap tak payahlah saya keluarkan lagu, tiada fungsi pun. Kalau keluar pun takkan naik.

“Tapi saya buat saja sebab ada ibu sebagai pembakar semangat. Saya pun mula menyanyi sejak kecil dari umur lapan tahun,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Erin tidak pernah sekali pun berputus asa dengan hinaan tersebut, malah peserta rancangan realiti Dangdut Academy Asia 5 Indosiar itu menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk lebih berani melangkah ke hadapan.

“Saya rasa sia-sialah nak patah semangat kan sebab sudah lama dalam industri ini. Jadi, saya kena teruskan sampai saya dapat apa yang diinginkan. Saya nak orang nampak dan hargai bakat saya,” luahnya.

Dalam pada itu, Erin turut mengakui dirinya seorang introvert.

“Kalau orang nak cakap lagu sudah banyak keluar tapi tak ke depan, saya okay saja. Sebab saya ini jenis introvert dan kuat rasa pemalu nak ke depan. 

“Kalau di media sosial sebab saya rakam sendiri, jadi rasa bebas. Secara peribadi, sikap introvert itu memang kena buanglah jadi seorang artis kan,” katanya.

Ditanya mengenai kontroversi bagi melonjakkan namanya, Erin memberitahu dia menolak sebarang gimik untuk menjadi popular.

Sumber : Harian Metro

Syamir Shafie