Categories: HiburanSelebriti

Dilantik Sebagai Timbalan Pengerusi Giatmara, Anne Ngasri Luah Rasa Syukur

Pelakon Datin Anne Ngasri menzahirkan rasa syukurnya selepas dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GiatMara, baru-baru ini.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Anne menerusi sebuah hantaran di Instagram, sebentar tadi.

Dalam perkongsian tersebut, Anne turut berkongsi momen ketika dirinya memberikan skrol kepada para graduan institusi tersebut di Majlis Konvokesyen Graduasi GIATMARA Ke-36 Zon Pantai Timur 2023.

“Alhamdulillah menjadi sebahagian keluarga besar GIATMARA Malaysia @mygiatmara ….Kenangan indah bersama melakar sejarah di Majlis Konvensyen Graduasi GIATMARA Ke-36 Zon Pantai Timur 2023….

“Syukur Ya Allah dan Terima kasih pada yang selalu mendoakan saya, saya juga doakan semua dilindungi dan diberi yang terbaik sepanjang perjalanan yang mendatang,” tulisnya.

Terdahulu, Anne pernah menyandang jawatan Exco Pengerakan Puteri UMNO Malaysia dan kini menjadi Exco Wanita UMNO Malaysia bagi 2023 – 2026.

Kerjaya Anne dalam bidang kepimpinan bermula dan aktif selepas bertemu jodoh kali kedua bersama Datuk Mohd Sumali Reduan pada 2012.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Sufi Harraz, 9, dan Nefa Naura, 4, selain masing-masing mempunyai zuriat dari perkahwinan sebelum ini.

Anne mempunyai tiga anak, Abdul Warits,16, Abdul Wafri,14, dan Nazharah Afroza, 12 tahun.

Manakala, Mohd Sumali mempunyai seorang anak, Suffian Akim, 17.

Fatin Nurain