‘Doakan Anak Saya’- Anak Daus Drama Band Kini Di ICU

Pemain bass kumpulan Drama Band, Daus memohon orang ramai mendoakan kesihatan anak keduanya, Nurul Adni Nuha yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang.

Sebagai bapa, Daus sebak melihat keadaan anaknya yang sihat walafiat ketika dilahirkan pada 11 April lalu, namun menghidapi jangkitan kuman dalam paru-paru.

“Kesihatan Nuha secara tiba-tiba menjadi lemah apabila diserang demam, batuk dan selsema pada 16 Jun lalu. Daripada seorang bayi yang sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit, Nuha kurang sihat selepas berusia dua bulan.

“Saya memohon orang ramai mendoakan supaya anak kami cepat sembuh dan sihat seperti sedia kala. Nuha batuk teruk dan sesak nafas sehingga dikejarkan ke hospital dan terus dirawat di zon kritikal Hospital Serdang,” kata Daus.

Sehingga kini, Nuha bergantung kepada tiub oksigen untuk bernafas dan antibiotik untuk melawan kuman di paru-parunya.

“Doktor mengesahkan Nuha mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan sukar untuk bernafas sendiri. Pada masa ini, dia masih lagi bergantung kepada tiub oksigen yang dimasukkan di dalam mulut.

“Dia terlalu penat dan tak mampu bernafas dengan sendiri sehingga terpaksa menggunakan tiub oksigen. Jangkitan itu membuatkan paru-paru Nuha tertutup dan oksigen tidak sampai ke paru-paru,” kata Daus.

Daus mendirikan rumah tangga dengan Nurul Aswani Zain, 30, pada 15 Mei 2015 dan mereka turut dikurniakan seorang lagi anak, Muhammad Na’im Irfan yang kini berusia tiga tahun.

SGMS Enal