Enggan Bawakan Lagu Dangdut Lagi, Iwan Syahman Tolak Tawaran Kolaborasi Bersama Penyanyi Wanita

Penyanyi Iwan Syahman menjelaskan dirinya tidak akan membawakan lagu dangdut lagi.

Sebaliknya, penyanyi dangdut popular era 90-an ini hanya mahu membawakan lagu yang bergenre pop dan bertemakan ‘arabic’.

“Walaupun saya buat lagu pop, macam mana pun orang akan cakap juga berkenaan dangdut kerana ‘style’ saya memang ke arah dangdut.

“Tapi sekarang saya dah tak buat lagi. Sekarang saya fokus kepada muzik arabic dan pop.

“Alhamdulillah, bagi saya selepas saya keluarkan lagu genre seperti ini, ia mendapat maklum balas positif peminat,” jelasnya.

Iwan ditemui di sidang media Angkasa Mukmin yang menjalin usahasama dengan Hayya Travel and Tours dalam menandatangani perjanjian persefahaman bersama Batik Air Malaysia yang diadakan di Royal Chulan, The Curve, semalam.

Bapa kepada pelakon cantik Aprena Manrose dan Oktovia Manrose ini juga turut mendedahkan bahawa dia pernah menolak tawaran untuk menghasilkan lagu bersama beberapa penyanyi wanita.

Permintaan tersebut juga datang daripada anaknya sendiri namun dia tegas dengan pendiriannya kerana bagi Iwan, suara itu aurat kaum wanita.

“Kita pun faham suara perempuan itu aurat kan? Kita perlu tahu larangan Allah dan taat dengan perintah Allah,” tegas Iwan.

Izzi Farhana