Enggan Ulas Tentang Babak Cium Berlapik, Pengarah & Pelakon W: Two Worlds Mohon Maaf

Pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim dan pelakon, Hun Haqeem serta Daiyan Trisha tampil memohon maaf berhubung kontroversi babak cium dalam drama bersiri W: Two Worlds terbitan platform penstriman, Viu itu.

Menurut Yusry, Hun dan Daiyan, mereka sudah sebulat suara untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut tentang perkara itu kerana perlu menghormati permintaan Viu meskipun sudah diasak soalan berkenaan isu terbabit.

“Kami ambil maklum tentang perkara itu. Terima kasih atas teguran itu. Kami minta maaf. Kami akan lebih berhati-hati di masa akan datang.

“Banyak perkara yang saya nak cakap. Tapi, pihak Viu sudah cakap, hanya itu sahaja jawapannya,” kata Yusry.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Yusry, Hun dan Daiyan ketika ditemui di sidang media W: Two Worlds Watch Party, malam tadi.

Terdahulu, babak cium berlapik di antara Hun dan Daiyan menerusi drama adaptasi daripada K-drama itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Biarpun sudah berlapik, rata-rata netizen mendakwa babak panas tersebut bertentangan dengan budaya dan tidak menjaga sensitiviti negara ini.

 

Fatin Nurain