Fahrin Ahmad Ulas Isu Pelakon Berwajah ‘Jambu’ – “Saya Pernah Risau Bila…”

Pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad tampil mengulas isu mengenai industri lakonan kini yang dibanjiri pelakon berwajah jambu.

Menurut Fahrin, dia enggan menyalahkan mana-mana pihak dan menganggap perkara itu tidak bersifat kekal.

“Berhubung isu pelakon berwajah jambu, saya percaya setiap orang mempunyai pandangan tersendiri. Suatu ketika dahulu, saya pernah risau apabila hero ditampilkan mendapat pengaruh dari budaya K-Pop.

“Namun, ia tidak bermaksud pelakon berwajah jambu tidak langsung mempunyai ciri-ciri kejantanan. Dan aliran ini tidak ada salah atau betulnya.

“Sebenarnya, masih ada penonton yang menghargai pelakon memiliki ciri kejantanan dan kemelayuan. Walaupun menggemari pelakon berwajah jambu, namun ciri-ciri disebut tetap didambakan,” katanya

Memetik laporan Berita Harian, pelakon itu juga menyatakan bahawa isu tersebut bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga dialami industri perfileman Hollywood.

“Ia bukan terjadi di Malaysia, tetapi arus perubahan turut melanda Hollywood. Dahulu, ramai hero jantan seperti Sylvester Stalone.

“Namun, kemudiannya hero berwajah jambu mengambil alih, antaranya Ashton Kutcher. Ini adalah satu kitaran dan akhirnya akan berbalik kepada pilihan peminat.

“Tak kiralah apapun, setiap watak sama ada berwajah jambu, lelaki ataupun ganas, akan tetap ada penonton yang menggemarinya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain