Farid Kamil Tunggu Permohonan Maaf Individu Buat Kenyataan Fitnah – “Kalau Berlebihan Sangat…”

Pelakon Farid Kamil memaklumkan dia tidak akan berdiam diri dan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menimbulkan fitnah terhadapnya berkenaan filem Anwar: The Untold Story.

Menurut Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari berkata, pihaknya masih menunggu permohonan maaf individu yang menabur fitnah kepadanya selaku pemegang watak utama filem biopik itu.

“Kita tak buat apa-apa tindakan lagi buat masa ini.

“Saya hanya bagi amaran dan desakan untuk mereka minta maaf secara terbuka dan menginsafi perbuatan mereka itu.

“Kalau berlebihan sangat tindakan mahkamah akan diambil,” katanya kepada XTRA ketika ditemui seusai prosiding mahkamah berhubung hadanah interim (hak jagaan sementara) dua anaknya, semalam.

Malah, Farid turut menyatakan perkara tersebut adalah normal kepada setiap anak seni.

“Perkara itu biasa terjadi, apabila kita berada di atas, dia akan jadi topik untuk setiap jalan cerita.

“Tiada masalah dengan tuduhan tersebut sebaliknya saya okey sahaja,” tutupnya ringkas.

Terdahulu, timbul satu dakwaan yang mendakwa Farid sukar untuk membawakan watak sebagai figura dihormati itu dan menuduh Farid mengeluarkan kenyataan mengatakan Anwar adalah pelakon yang lebih hebat.

Tidak berdiam diri, Farid tampil membalas dakwaan jahat tersebut dengan menyatakan ia adalah fitnah semata-mata dan yakin itu adalah permainan jahat individu tidak bertanggungjawab.

Khairil Khusyairi