Categories: HiburanSelebriti

Giliran Waris Dekati Kumpulan Tabligh?

“Saya mahu cari penyanyi rap di kalangan Tabligh, itupun jika ada yang sudi boleh jumpa saya,” kata penyanyi rap terkenal, Waris yang mahu merealisasikan projek baharu dalam masa terdekat.

Kata pelantun lagu Terbaik Bossku ini, dia berhasrat mencipta sebuah lagu kerohaniaan untuk individu terpilih berkenaan.

“Sebelum ini saya pernah keluar menyertai kumpulan Tabligh di sebuah lokasi. Di sana, saya kagum melihat kebolehan mereka menghafal Al-Quran dengan teknik tersendiri.

“Bayangkan otak mereka lebih laju berbanding mesin fotostat. Bila baca sekali sahaja, mereka boleh ‘tangkap’ bacaan dalam sekelip mata.

“Saya berharap ada di antara mereka yang sudi cari saya untuk merakam lagu untuk sebuah projek khas. Kalau sudi, jangan segan cari saya,” puji Waris.

Berkongsi mengenai lagu itu nanti, pemilik nama Waris atau nama sebenarnya Muzzammil Alias memberitahu lirik lagu rap berkenaan akan sarat dengan mesej keagamaan atau penceritaan sejarah lama Islam.

“Projek lagu itu nanti akan banyak guna ‘spoken words’. Macam di Amerika Syarikat, ramai penyanyi dalam aliran rap menggunakan lagu sebegini untuk berdakwah.

“Apa salahnya saya pula cuba. Kalau boleh saya mahu buat sesuatu yang ada keberkatan,” akhirinya.

Oleh: Fas

SGMS Faida