Gugup Kendalikan Melodi TV3, Ain Edruce Berguru Dengan Nabila Huda

Pelakon dan pengacara Ain Edruce, mengakui gugup ketika mengendalikan program Melodi buat pertama kali pada Ahad lalu.

Menurut Ain, Melodi adalah program hiburan nombor satu TV3 dan mempunyai penonton setia yang menantikannya setiap minggu.

“Jadi, saya risau mengendalikannya seorang diri, namun saya perlu mencabar diri dan redah sahaja.

“Saya syukur berjaya mengendalikan episod pertama walaupun ada kesilapan perlu dibetulkan,” katanya.

Selain itu, Ain turut menyatakan dia ingin cuba mengurangkan rasa gugup dan perbaiki kekurangannya pada minggu akan datang.

Malah, Ain turut berkongsi rasa terujanya apabila Nabila Huda, yang merupakan bekas pengacara rancangan tersebut juga memberikan semangat dan memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Saya mesej Nabila, dia turut memberikan ucapan tahniah. Malah, Nabila menyatakan, dia percaya saya boleh menjadi hos yang hebat.

“Jujurnya, saya amat merindui momen bergandingan dengan Nabila. Kami juga sudah berkawan baik.

“Jadi, antara kami tiada masalah, meskipun saya menggantikannya. Nabila sangat profesional dalam soal kerja, malah, banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya,” katanya.

Sementara itu, pelakon tinggi lampai itu juga memaklumkan dia tidak membaca komen netizen buat masa ini kerana enggan dibandingkan dengan hos terdahulu.

“Risau memang ada. Contohnya, apabila saya mengacarakan program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) musim kelima.

“Sama juga dengan program Melodi, saya sudah bersiap sedia jika timbul perbandingan dengan hos terdahulu.

“Bagi saya, perbandingan seperti adat. Saya tidak boleh buat apa, hanya perlu membuktikan kemampuan dan memberikan persembahan terbaik.

“Disebabkan itu, saya mengelak membaca komen. Saya tahu netizen boleh bercakap apa sahaja, tetapi apa yang paling penting saya fokus, tutup mata dan teruskan bekerja,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain