Haqiem Rusli Didakwa Makin ‘Sendu’ Selepas Kahwin? – “Ini Semua Rezeki Daripada Dia”

Nama penyanyi, komposer dan penulis lirik, Haqiem Rusli seolah-olah ‘tenggelam’ selepas berjaya meraih tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke 36 (AJL36) baru-baru ini.

Malah, ada yang mendakwa status dirinya yang sudah berkahwin juga menjadi penyebab utama kenapa nama penyanyi ini tidak sehangat dahulu dan kurang mendapat perhatian peminat.

Akur dengan rezeki yang diberikan Tuhan, Haqiem mengakui apa yang dimiliki kini adalah ketentuan daripada-Nya.

“Saya tak berani nak cakap banyak pasal benda ni banyak… sebab ini semua rezeki daripada Dia.

“Perjalanan hidup kita ni, macam saya pernah cakap kalau satu hari nanti nama saya jatuh ke? nama saya dah tak naik ke? Itulah perjalanan hidup saya, saya akan terima dan saya tidak akan terkilan… itu kerja yang maha Esa,” katanya.

Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli, 24, turut menyedari perhatian peminat terhadap dirinya kini semakin berkurang, namun pelantun lagu Segalanya ini berharap agar peminat di luar sana menghargai seni yang dibawa oleh seseorang artis itu dan bukannya keadaan diri atau status mereka.

“Saya juga dapat merasakan attention, vibes daripada peminat ni agak kurang sikit lah… Cuma apa yang saya boleh cakapkan, kalau saya meminati seseorang artis tu, sama ada dia sudah berkahwin atau tidak berkahwin kita support seni yang dia bawa, bukan keadaan diri dia,” jelasnya.

Terdahulu, Haqiem muncul dengan lagu terbaharunya berjudul, Aku, Hati Dan Perasaan yang disifatkan sebagai antara koleksi peribadinya memandangkan ia bergenre pop balada yang lebih rileks.

 

Sumber: Melodi

Salma Syahbuddin