Haziq Hussni Kini Pengacara Melodi, Tidak Kekok Digandingkan Bersama Ain Edruce!

Pengacara Haziq Hussni, kini secara rasmi digandingkan bersama Ain Edruce sebagai pengacara program Melodi yang bersiaran di TV3, hari ini.

Menurut Haziq, dia berasa gembira dan berbesar hati apabila impiannya untuk mengendalikan program hiburan nombor satu akhirnya termakbul.

“Alhamdulillah, rezeki saya untuk sertai team Melodi. Saya rasa berbesar hati dapat mengacarakan Melodi program hiburan nombor satu.

“Pengacara mana yang tak nak mengacara Melodi, ia ibarat satu cita-cita yang sudah berjaya saya capai sejak menceburi bidang pengacaraan,” katanya.

Perkongsian tersebut telah dikongsikan oleh Haziq selepas dirinya diperkenalkan kepada penonton secara langsung dalam program Melodi yang disiarkan di Studio 3, Glenmarie.

Selain itu, bekas penyampai radio itu turut menyatakan dia tidak kekok dan berasa teruja untuk bekerjasama bersama Ain Edruce kerana mereka sudah lama berkawan rapat.

“Melodi merupakan program pertama yang menggandingkan saya dengan Ain. Kami memang kawan rapat. Jadi tak ada masalah. Dapat pula partner yang gila-gila, memang tak susah nak cari keserasian.

“Kami masing-masing tahu cara terbaik untuk menyampaikan berita. Saya harap agar gandingan kami dapat diterima ramai dan menerima maklum balas yang positif,” jelasnya kepada XTRA.

Menurut Penerbit Eksekutif Jamil Hassan, Haziq sesuai dengan ‘DNA’ program tersebut, malah perkara itu terbukti apabila tiada sesi ujibakat yang dilakukan bagi pemilihan hos.

“Haziq merupakan pilihan yang tepat sebab pengalaman hosting yang dia ada.

“Kami gandingkan Haziq dengan Ain agar dapat menceriakan lagi cara penyampaian cerita supaya more lively, sebab itu kami wujudkan dua hos.

“Saya percaya gandingan mereka ini relevan dengan selera penonton Melodi,” kata Jamil.

Pada 3 Julai lalu, Ain Edruce telah dipilih menjadi hos baharu Melodi bagi menggantikan Nabila Huda dan pernah digandingkan dengan beberapa pengacara jemputan seperti Izzue Islam, Shalma Ainaa dan Sharnaaz Ahmad.

Fatin Nurain