Hefny Sahad Teruja Tapi Tak Berharap

Pengacara Hefny Sahad mengaku teruja namun dalam masa sama tidak meletakkan harapan terlalu tinggi apabila namanya dicalonkan dalam senarai Anugerah Bintang Popular (ABPBH- 31).

Akui jejaka berusia 31 tahun ini, saingan dalam kategori pengacara popular sangat sengit.

“ Kalau lihat pada senarai nama yang tercalon, semuanya memang hebat-hebat.

“ Saya memang tidak berharap apa-apa. Jika ditakdirkan dapat melepasi senarai Top 5, ia sudah menggembirakan saya,” katanya.

Hefny memberitahu dia juga telah memiliki kelab peminat sendiri pada tahun ini.

“ Mereka banyak menyokong kerjaya seni saya, malah begitu bersemangat untuk memastikan nama saya membolosi Top 5. 

“ Namun, saya serahkan perkara itu kepada rezeki,” katanya.

Mengusik soal jodoh pula, Hefny memberitahu dia kini dalam fasa memulakan hidup baru selepas putus cinta dengan pelakon Uqasha Senrose lapan bulan lalu.

“ Saya masih sendiri dan tidak tertekan dengan soal itu.

“ Bukan tidak pernah membuka hati menerima kehadiran gadis lain, namun saya tidak mahu terburu-buru menamatkan zaman bujang.

“ Saya cuma lebih berhati-hati, namun jika ditanya, saya tidak meletakkan sebarang syarat.  Sama ada insan biasa atau selebriti, saya menerima jodoh yang tertulis dengan hati terbuka,” akhirinya.

Tak apalah Hefny, bunga bukan sekuntum kan? 

SGMS Faida