Ibu Bapa Generasi Baharu, Lisa Sedia Membantu!

Pelakon berbakat, Lisa Surihani telah menerima sijil Certified Information Security Awareness Manager (CISAM) pada acara malam Anugerah CyberSecurity Malaysia, minggu lalu, setelah menyertai kursus selama dua hari. 

Tidak dinafikan menyertai bengkel tersebut sedikit sebanyak memberi Lisa ilmu baharu tentang keselamatan siber dan informasi sekuriti.

Menurut Lisa, dia bersedia membantu dan berkongsi tentang pemahaman mengenai penggunaan gajet dan informasi ‘online’ sesuai untuk kanak-kanak, kepada ibu bapa moden yang lain.

“Inisiatif saya adalah memberikan pemahaman kepada ibu bapa terutamanya, apa itu informasi sensitif di alam maya. 

“Dengan sijil ini, saya diiktiraf memberikan latihan serta mengadakan bengkel membantu golongan ibu bapa mengawasi penggunaan gadget dalam kalangan kanak-kanak.” Katanya kepada xtra.com.my

Ibu kepada dua cahayamata Yahaira Leanne dan Yusof Leonne itu berkata, dia memahami perasaan ibu bapa generasi baharu kerana dia juga menggalas tanggungjawab yang sama dan tahu cabaran yang dihadapi golongan tersebut.

“Saya anggap diri saya sebagai ibu bapa generasi baru yang hidup dengan kewujudan media sosial serta telefon pintar.

“Ada sesetengah tip daripada generasi terdahulu masih boleh diguna pakai, namun ada juga tak tahu kerana perbezaan zaman.” Katanya.

Tambahnya, salah satu cara digunakan adalah memberi gajet kepada anak-anak namun mengikut durasi masa bersesuaian.

“Saya memang memberikan anak-anak untuk bermain dengan gajet. Malahan, ada kajian mengatakan gadget perlu didedahkan kepada kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke atas. Walaupun saya silap memberi pendedahan awal kepada anak sulung, saya tetap pantau aktivitinya.  Selain itu, cara saya menggunakan gadget kepada anak-anak adalah memuat turun aplikasi pembelajaran. Secara tak langsung, sambil bermain mereka belajar. Untuk anak lelaki saya, dia jenis cepat bosan. Jadi, tempoh masa dia bermain dengan gajet tidak terlalu lama berbanding kakaknya.” Katanya.

Terbaharu, Lisa kini menjalani penggambaran drama bersiri Viu yang berjudul Jibril, menampilkan barisan pelakon hebat seperti Aeril Zafrel, Zahiril Adzim, Sangeeta Krishnasamy dan Tony Eusoff dibawah arahan Megat Shahrizal.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Jibril yang akan datang, hanya di saluran ntv7 anda!

Ditulis Oleh : Nik Nur Amira

Ad Ops