Ibu Kandung & Teman Lelaki Ditahan, Beri Bayi 16 Bulan Dadah

Ibu kanak-kanak malang bersama teman lelakinya ditahan polis selepas disyaki memberikan dadah kepada bayi lelaki berusia 16 bulan yang dipercayai anak mereka.

Memetik laporan Harian Metro, wanita berkenaan ditahan ketika menghantar mangsa yang mengalami sawan ke hospital Sultanah Aminah (HTA), Johor Bahru selepas menerima aduan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pasangan itu ditahan pada 12 Disember lalu, selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru membuat laporan mengenai bayi malang itu.

“Selepas mendapat aduan, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Jalan Salleh, Johor Bahru dan seorang wanita berusia 31 tahun di HSA, Johor Bahru.

“Wanita yang juga ibu kandung bayi berkenaan ditahan ketika menghantar mangsa yang mengalami sawan ke hospital,” katanya.

Dalam pada itu, hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak malang tersebut positif dadah jenis methamphetamine atau amphetamine.

Manakala, ibu kandung mangsa bersama kekasihnya juga didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing.

Menurutnya, pasangan kekasih itu sudah dituduh di mahkamah semalam, mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebabkan seorang bayi positif dadah.

“OKT (orang kena tuduh) ditawarkan jaminan RM6,000 setiap seorang, namun mereka tidak dapat membayar jamin ditetapkan, maka masing-masing kini ditahan di Penjara Koreksional Ledang dan Penjara Kluang.

“Kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan,” jelasnya.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin